Sebelum ini kami melaporkan yang mana permainan Lords Of The Fallen 2 akan dibangunkan oleh Defiant Studios yang mana ianya diumumkan oleh penerbit permainan tersebut iaitu CI Games.
Terkini melalui laporan Games Industry, pembangunan permainan tersebut tampaknya terhenti dan kontrak antara Defiant Games dan CI Games ditamatkan. Menurut CI Games, pembangunan oleh Defiant Games tidak mencapai tahap kualiti yang diinginkan oleh mereka walaupun setelah tiga kali pembaikan yang diminta oleh penerbit. Ini sekaligus menyebabkan CI Games mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak tersebut.
Namun, Defiant Studios tidak bersetuju dengan kenyataan CI Games dan David Grijns, pengarah pengurus Defiant Studios menyatakan bahawa pasukan pembangun mereka terdiri daripada pembangun berbakat dan terlibat dengan pelbagai permainan bertaraf tinggi seperti Just Cause, Call Of Duty: Advanced Warfare, Far Cry 5 dan sebagainya.
Akan tetapi, kedua-dua belah pihak tidak berkongsi sebarang kenyataan tambahan dan memandangkan ianya berkaitan dengan perkara sulit syarikat, mereka menyatakan mereka perlu menghormati persetujuan tersebut.
Sememangnya ini adalah satu perkara yang agak menyedihkan memandangkan seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Defiant Studios merupakan studio baru ditubuhkan pada 2016 lepas. Dengan kenyataan sebegini ianya semestinya akan memberi kesan terhadap studio pembangun tersebut.