World Intelligent Congress (WIC) 2019 baru sahaja selesai dilangsungkan pada 16 hingga 19 Mei. Bersempena dengan acara tersebut, International Intelligent Sports Congress (ISC) 2019 dianjurkan yang memperlihatkan kejohanan e-sukan antaranya adalah Pro Evolution Soccer (PES) 2019.
Secara keseluruhan terdapat 10 negara yang menyertai kejohanan tersebut iaitu Brazil, China, Indonesia, Myanmar, Serbia, Sepanyol, Singapura, Thailand, UK dan Malaysia yang diwakili oleh pasukan PES Malaysia dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Sukan Eletronik Malaysia (eSM).
10 pasukan tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan yang memperlihatkan 4 pasukan daripada 5 melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Pasukan Malaysia (PES Malaysia) terdiri daripada Nor Hafizan bin Jamil (JJ) dan Ahmad Muazz bin Amir Rosaedi (Maul), yang berentap tiga pusingan iaitu solo setiap seorang dan co-op.
Pasukan Serbia selaku juara kumpulan A bersama Brazil, Indonesia dan Malaysia melayakkan diri ke suku akhir. Manakala kumpulan B, Sepanyol menjadi juara diikuti Singapura, China dan UK layak ke suku akhir.
Selepas mengalahkan lawan masing-masing, Sepanyol, Brazil, Serbia dan Malaysia melayakkan diri ke pusingan separuh akhir. Di peringkat suku akhir, pasukan Malaysia mengalahkan pasukan Singapura dengan kiraan mata 2-1.

Di peringkat separuh akhir, Malaysia berjaya mengalahkan Sepanyol yang merupakan juara bagi kumpulan B di peringkat kumpulan. Manakala Brazil mengalahkan Serbia yang merupakan juara bagi kumpulan A.
Di peringkat akhir, Brazil dinobatkan sebagai juara selepas mengalahkan pasukan Malaysia dengan kiraan mata 2-1. Walaupun tidak berjaya menjadi johan akan tetapi pencapaian Malaysia dan PES Malaysia adalah satu yang harus dipuji.