
Seperti kita sedia maklum, Sony dan Microsoft merupakan pemilik kepada dua jenama besar di dalam dunia permainan video iaitu PlayStation dan Xbox. Di dalam kategori tersebut, mereka boleh dikatakan adalah pesaing.
Tampaknya, perkara tersebut tidak menghalang daripada mereka untuk bekerjasama. Sony dan Microsoft hari ini mengumumkan yang mereka akan bekerjasama bagi mengembangkan teknologi awan berdasarkan Microsoft Azure.
Ia adalah untuk menyokong perkhidmatan penstriman permainan video serta kandungan lain untuk kedua-dua syarikat. Selain itu kerjasama ini juga akan memfokuskan kepada teknologi semikonduktor dan AI.
Ini bukanlah petanda berakhirnya ‘peperangan konsol’ akan tetapi sekadar kerjasama untuk berkongsi kepakaran masing-masing agar dapat menambah-baik teknologi yang tersedia.