Melalui Nintendo Direct khas yang dipertontonkan oleh Nintendo pagi tadi, mereka berkongsi lanjut mengenai permainan Super Mario Maker 2.
Bagi yang tidak mengetahui mengenai permainan ini ia adalah permainan platformer Super Mario akan tetapi pemain boleh mereka ataupun memuat turun peringkat yang direka oleh pemain lain.
Pemain boleh menggunakan pelbagai aset daripada siri permainan Super Mario untuk menghasilkan peringkat sendiri. Dengan kata lain, pemain akan mempunyai peringkat baharu untuk dimainkan tanpa had.
Bagi yang sudah mengetahui mengenai permainan ini ataupun sudah mencubanya di Wii U ataupun 3DS. Nintendo juga menyertakan pelbagai kandungan baharu untuk siri kedua ini. Antaranya adalah;
Mod Cerita
Bagi memudahkan pemain untuk mencuba pelbagai peringkat terlebih dahulu sebelum membina sendiri, mod cerita disediakan khas untuk tersebut. Melalui mod ini pemain perlu membina istana untuk Princess Peach (apalah puteri jika tanpa istana, kan?).
Pembinaan memerlukan Coins, untuk mendapatkan Coins pemain perlu melalui pelbagai peringkat yang dihasilkan oleh Nintendo sendiri. Terdapat lebih 100 peringkat yang boleh menjadi sumber inspirasi untuk anda membina peringkat sendiri.
Mod Multi-Pemain
Meneruskan tradisi Switch iaitu mengutamakan sesi bermain bersama dengan rakan dan pemain lain, Super Mario Maker 2 juga menyertakan mod multi-pemain.
Terdapat dua jenis berbeza iaitu Versus dan Co-op. Melalui Versus, pemain akan berlumba dengan 3 pemain lain untuk menyelesaikan setiap peringkat terlebih dahulu.
Manakala untuk Co-op, pemain boleh bekerjasama untuk menyelesaikan peringkat tersebut, jika salah seorang pemain menyelesaikan peringkat, kesemua pemain akan dikira berjaya menyelesaikannya juga.
Bercakap mengenai multi-pemain, pemain juga boleh menghasilkan peringkat dengan rakan secara koperasi setempat.
Peralatan Baharu
Selain mod-mod baharu, Super Mario Maker 2 juga menyediakan pelbagai peralatan baharu yang boleh digunakan oleh pemain untuk menghasilkan peringkat yang lebih mencabar dan menarik. Antara peralatan baharu adalah;
Moon/Peringkat Waktu Malam
Pemain boleh menukar Angry Sun kepada Moon di mana ia akan menjadikan peringkat tersebut di mainkan waktu malam. Jika Angry Sun akan menyerang anda, Moon akan membantu anda untuk menghilangkan kesemua penjahat.
Selain itu, peringkat waktu malam menyertakan keunikan tersendiri. Contohnya pada waktu malam Goomba akan terapung, peringkat Underground akan dimainkan secara terbalik, di Ghost House, ia akan dimainkan di dalam keadaan yang gelap, di Sky graviti akan dikurangkan, di Desert akan terdapat ribut pasir, di Snow pula peringkat akan menjadi lebih licin dan Forest akan menyertakan air beracun.
Super Mario 3D World
Pemain akhirnya kini boleh menggunakan Super Mario 3D World sebagai Game Style. Ia akan mempunyai peralatan serta persekitaran yang berbeza dengan Game Style yang lain. Antara yang disertakan adalah Cat Mario, Clear Pipe, Crate, Warp Box, Spike Block, !Block, dan kereta Koopa Troopa.
Nintendo Switch Online
Segala mod permainan yang memerlukan sambungan internet, seperti berkongsi peringkat, memuat turun peringkat dan juga bermain secara multi-pemain akan memerlukan langgan Nintendo Switch Online. Berkas Super Mario Maker 2 dengan langganan 12 bulan Nintendo Switch online disediakan dengan harga $69.99 (~RM291) di mana harga permainan sahaja adalah $59.99(~RM250).
Super Mario Maker 2 akan dikeluarkan secara eksklusif untuk Nintendo Switch pada 28 Jun 2019.