SNK hari ini akhirnya mengumumkan yang mana permainan perlawanan Samurai Shodown akan dilancarkan pada 27 Jun 2019 buat pasaran Malaysia di konsol Playstation 4. Manakala versi global buat Xbox One akan dilancarkan pada 25 Jun 2019. Selain itu, menurut SNK versi Switch dan PC juga dirancang untuk dilancarkan sekitar tahun ini.
Bersempena dengan pengumuman ini, SNK juga berkongsi satu video acah yang memperlihatkan sebilangan watak-watak buat permainan tersebut bersama bentuk permainannya.
Antara bentuk yang memfokuskan adalah bar meter Rage baharu yang akan memberi pemain peluang untuk melakukan serangan yang kuat apabila pemain dipukul oleh musuh. Selain itu, SNK juga memperlihatkan bentuk latihan The Dojo yang mana permainan ini akan menghasilkan watak ‘Ghost’ berdasarkan cara dan gaya pemain. Watak ‘Ghost’ tersebut kemudian boleh digunakan oleh pemain untuk berlatih sama ada secara luar-talian ataupun memuat-naiknya di atas-talian untuk berkongsi dengan pemain lain.
Apa yang menariknya juga, pada penghujung video tersebut, SNK menyatakan buat mereka yang membuat pembelian awal permainan Samurai Shodown, iaitu sebelum 30 Jun 2019, mereka akan menyertakan pas musim permainan tersebut secara percuma. Ini sekaligus pasti akan menjimatkan pemain untuk mendapatkan watak-watak DLC buat permainan ini pada masa akan datang.
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkannya, di Playstation 4 ianya sudah boleh dipra-tempah dengan harga bermula RM225 melalui PSN Store.