Kali terakhir kita mendapat kemaskini utama buat Playstation 4 adalah sekitar Mac lepas di mana ianya menyertakan fungsi Remote Play bersama peranti iOS dan kemaskini biasa yang lain.
Terkini melalui laporan Playstation Lifestyle, kita mungkin akan menerima pelbagai kemaskini sistem operasi yang dinanti-nantikan buat konsol tersebut di mana seorang pengguna Twitter, Tidux yang terkenal sebagai salah seorang daripada orang di dalam industri permainan video ini berkongsi sebilangan informasi berkenaan kemaskini sistem operasi Playstation 4 akan datang.
Antara fungsi yang dinyatakan oleh beliau adalah fungsi untuk menyenaraikan permainan kehendak dan juga menghadiahkan permainan. Selain itu, kemajuan trofi, log masa statistik permainan dan fungsi untuk pin permainan di ‘Dashboard’ Playstation 4.
Semestinya kesemua fungsi ini adalah fungsi-fungsi yang sering di minta oleh pemain selepas fungsi menukar nama pengguna PSN yang baru sahaja dilancarkan April lepas.
Pada pendapat kami, ini masih lagi satu ura-ura dan Sony masih belum berkongsi sebarang informasi lanjut berkenaannya. Meskipun begitu, keupayaan untuk menyenarai permainan kehendak dan melihat log masa permainan pasti merupakan salah satu fungsi yang sangat berguna buat pemain.
Namun begitu, kita masih perlu menanti sebarang pengumuman oleh Sony kelak dan kami di Aksiz pasti akan berkongsi jika terdapat sebarang informasi lanjut.