Antara cara untuk kami di Aksiz berehat daripada menulis adalah bermain skribbl.io iaitu permainan melukis di mana pemain lain akan meneka apa yang sedang dilukiskan oleh seorang pemain lain.
Oleh disebabkan saya sangat menyukai permainan tersebut saya cuba mencari permainan yang sama tetapi dalam bentuk permainan mudah alih. Akhirnya saya menemui satu permainan yang menarik iaitu Draw It.
Draw It dibangunkan Kwalee dan boleh dimuat turun untuk peranti iOS serta Android secara percuma.
Melalui permainan ini, anda bersama dengan 3 orang pemain lain yang disertakan secara rawak diberikan dua perkataan, pemain kemudian perlu memilih salah satu perkataan tersebut dan perlu melukis perkataan tersebut.
Menariknya, tidak seperti permainan lain yang menggunakan konsep yang sama, ia bukanlah pemain lain yang akan meneka apa yang dilukis oleh anda akan tetapi kesemua hasil lukisan (atau contengan) akan dinilai oleh AI di dalam permainan ini.
Tekaan AI tersebut akan dikeluarkan, ia akan sentiasa berubah setiap kali anda menukar lukisan ataupun menambah sehinggalah AI meneka dengan tepat. Sasaran permainan ini adalah untuk mendapatkan jumlah tekaan tertinggi berbanding pemain lain.
Jumlah tekaan yang tepat serta kedudukan pada akhir permainan akan menentukan berapa Gold yang diperoleh oleh anda. Gold ini boleh digunakan untuk menambah pek perkataan yang akan disertakan.
Selain itu, pemain juga akan mendapat mata pengalaman setiap kali bermain, dengan mata pengalaman yang cukup pemain akan meningkat tahap. Tahap digunakan untuk mendapat pelbagai Avatar bagi menghias profil anda.
Draw It boleh dimuat turun secara percuma tetapi seperti permainan percuma yang lain, ia menyertakan iklan yang bagi saya sangat mengganggu. Setiap kali sebelum bermain iklan akan keluar, jika anda melukis dengan tidak baik untuk mengosongkan semula, turut akan dikeluarkan iklan yang akan menyebabkan anda kehilangan masa.
Oleh disebabkan itu, untuk mendapatkan pengalaman bermain dengan baik, saya menyarankan anda untuk membuat pembelian di dalam aplikasi untuk membuang iklan, harga asal ialah RM12.90 tetapi semasa penulisan ini adalah promosi iaitu RM7.90.
Disertakan juga adalah langganan bulanan yang akan memberikan pemain coins setiap hari, avatar dan pek perkataan khas dan juga membuang iklan. Dengan harga RM59.90 sebulan, bagi saya ia sangatlah tidak berbaloi. Namun, ia juga tidak diperlukan.
Akhir sekali, Draw It adalah satu permainan mudah alih yang sangat menarik. Bentuk permainan yang disertakan sangat ringkas dan cepat tetapi masih mengekalkan keseronokan bermain.
Saya boleh katakan ia adalah antara permainan terbaik yang anda boleh main apabila sedang menaikkan kenderaan awam, sedang menunggu ataupun mempunyai masa yang terluang. Ia juga permainan yang tidak memerlukan komitmen masa menjadikan ia satu permainan yang sangat sesuai untuk disimpan di dalam telefon anda.
App Store: Draw It
Play Store: Draw It