Mortal Kombat 11 baru sahaja dilancarkan bulan lepas di konsol dan PC yang mana bagi anda yang mengetahui berkenaan permainan tersebut, anda pasti tahu berkenaan bentuk dan visual permainan yang mempunyai keganasan yang melampau.
Terkini melalui laporan Comicbook, tampaknya kesan daripada pembangunan permainan tersebut memberi satu pengalaman yang teruk sekali di mana terdapat seorang pembangun dilaporkan menghadapi kecelaruan stres pasca-trauma ataupun PTSD akibat terlalu banyak melihat kandungan ganas.
Melalui temu-bual bersama Kotaku, pembangun yang tidak bernama daripada NetherRealm Studios berkongsi yang mana untuk menyelidik dan membangunkan permainan Mortal Kombat 11, mereka banyak melihat dan mencari kandungan-kandungan yang kejam. Tambah beliau, terdapat beberapa saat di mana apabila mereka berjalan di ofis, pembangun-pembangun sering melihat video manusia membunuh diri, video-video penyembelihan dan sebagainya, sekaligus memberi satu pengalaman yang tidak enak buat mereka.
Terdapat juga seorang pembangun yang mana beliau terkesan sehingga menyebabkan beliau tidak langsung berupaya untuk melihat anjing peliharaannya kerana terbayang organ-organ dalaman anjing tersebut dan sekaligus beliau kemudian di-diagnosis menghidapi kecelaruan stres pasca-trauma.
Semestinya ini adalah satu perkara yang sangat mengejutkan dan pada pendapat saya sendiri agak menakutkan. Semestinya untuk menghasilkan satu permainan video bukanlah satu tugas yang senang. Namun, untuk mengorbankan jiwa dan raga sehingga ke tahap ini semestinya adalah satu kesan yang agak menyedihkan.
Walaupun begitu, untuk permainan bergenre sedemikian seperti Mortal Kombat, mungkin adalah satu perkara biasa. Kami sendiri masih tidak berpeluang untuk mencuba dan bermain permainan tersebut. Namun, berdasarkan video acah yang diperlihatkan, sudah pasti permainan tersebut memaparkan pelbagai adegan yang sangat ganas dan pasti bukan untuk mereka yang tidak cukup umur.
Mortal Kombat 11 telah pun dilancarkan April lepas di mana ianya tiba di konsol Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC.