Skip to main content

Samsung S10+ baru sahaja dilancarkan Mac lepas dan ianya merupakan salah satu peranti telefon pintar mercu terkini oleh Samsung dan dilengkapi dengan pelbagai spesifikasi yang tinggi. Dengan cip pemprosesan Exynos 9820 bersama 8GB Ram dicampur dengan storan sebesar 128GB dengan saiz skrin 6.4 Dynamic AMOLED, peranti yang berharga RM3,699 semestinya peranti yang sangat berkuasa tinggi.

Meskipun begitu, artikel ini sememangnya bukanlah satu ulasan telefon pintar dan bagi anda yang ingin membaca mengetahui lebih lanjut berkenaan Samsung S10+ ini, anda boleh ke ulasan dibawah oleh Amanz.

Namun, apa yang kami di Aksiz ingin fokuskan adalah pengalaman bermain permainan mudah-alih (Permua) melalui telefon pintar ini di mana kami memfokuskan 3 permainan utama seperti Fortnite, Asphalt 9: Legends dan PUBG Mobile.

Semestinya perkara pertama yang membuatkan Samsung S10+ ini begitu bagus sekali sebagai peranti permua adalah prestasinya. Sepanjang sesi permainan saya sama ada Fortnite, mahupun Asphalt 9, kesemuanya dimainkan dengan begitu lancar sekali.

Terutamanya Fortnite di mana Samsung S10+ berjaya memainkan permua ini dengan tetapan tinggi dengan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS. Untuk permua yang memerlukan tindak balas yang responsif dengan bentuk kompetitif yang tinggi, prestasi sebegini sudah pasti memberi hasil pengalaman permainan yang sangat memberangsangkan.

Jika anda bermain PUBG Mobile pula, untuk mendapat makan malam ayam bukanlah satu perkara yang sukar. Betul, ianya tidak semestinya bergantung terhadap prestasi peranti untuk berjaya di dalam permua tersebut. Akan tetapi, dengan prestasi yang lancar melalui Samsung S10+ sememangnya memberi satu kelebihan buat saya.

Dari segi paparan skrin, semestinya dengan bersaiz 6.4 inci, Samsung S10+ memberi satu ruangan penglihatan permua yang sangat bagus sekali dan walaupun ianya mempunyai bezel bersama dahi dan dagu yang nipis, peranti ini masih selesa dipegang di tangan walaupun dengan sesi permua yang melebihi 1 jam.

Seperkara lagi yang saya sangat menyukai adalah paparan skrin peranti ini juga sangat tajam dan begitu cantik sekali, sekaligus perkara ini banyak membantu saya ketika sesi PUBG Mobile, untuk mengesan musuh ataupun melihat kawasan permua dengan lebih cantik.

Ini juga jelas dilihat melalui permua yang mempunyai visual yang cantik seperti Asphalt 9: Legends dan segala model kenderaan termasuklah rekaan-rekaan kereta secara terperinci, jelas kelihatan menawan.

Melalui Samsung S10+ ini, Samsung juga menyediakan beberapa fungsi permua khas seperti Game Launcher dan Game Tools. Kedua-dua fungsi sedikit sebanyak menyenangkan pengguna untuk penggunaan memfokuskan sesi bermain. Game Launcher menyediakan fungsi untuk pemain memilih dan mencari permua untuk dimuat-turun dengan lebih mudah, manakala fungsi Game Tools pula memberi tetapan buat pemain untuk menangkap gambar paparan skrin, merekod video ataupun menetap notifikasi supaya ia tidak mengganggu sesi permua pemain.

Akan tetapi, terdapat satu perkara yang agak saya kurang berpuas hati iaitu tahap kepanasan permua ini di mana sekitar 1 hingga 2 jam saya bermain, saya dapati peranti ini agak panas untuk dipegang. Meskipun ianya tidaklah mengganggu keseluruhan sesi permua saya, namun ianya masih lagi memberi kesan ketidak-selesaan ketika memegang peranti tersebut.

Akhir kata, apa yang saya boleh kongsikan adalah, Samsung S10+ ini sememangnya satu telefon pintar terbaik untuk sesi permainan, mahupun buat pemain kompetitif ataupun kasual. Sudah pasti, telefon pintar ini bukanlah satu telefon pintar yang murah, akan tetapi untuk anda yang ingin mendapatkan peranti yang sempurna untuk kegunaan sesi permainan dan seharian anda, saya amat mengesyorkan Samsung S10+ ini.

Leave a Reply