Seperti anda sedia maklum, Two Point Hospital yang dibangunkan oleh Two Point Studios sebelum ini diterbitkan oleh SEGA. Permainan tersebut sememangnya mendapat pujian ramai dengan bentuk simulasi seakan permainan klasik Theme Hospital di mana kami sendiri juga telah mengulaskannya dengan baik sekali.
Terkini, Two Point Studios mengumumkan bahawa mereka kini berada di bawah naungan SEGA di mana SEGA kini memperoleh studio pembangun permainan tersebut.
Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan Two Point Studios, ianya adalah studio pembangun permainan di bawah Gary Carr, Mark Webley dan Ben Hymers di mana ketiga-tiga mereka adalah ebkas pembangun dari Lionhead Studios, yang terkenal dengan permainan Fable, Black & White. Manakala Gary Carr dan Mark Webley juga sebelum ini terlibat dengan pembangunan permainan Theme Hospital dibawah studio Bullfrog Production.
Menurut SEGA, studio pembangun tersebut juga kini mempunyai beberapa projek yang masih belum diumumkan dan akan dikongsikan pada masa akan datang. Mark Webley juga menyatakan bahawa mereka juga bersemangat untuk membawa fasa seterusnya buat studio tersebut untuk berkembangkan lagi Two Point Studios.
Sememangnya perolehan ini adalah satu pengumuman yang sangat menggembirakan di mana permainan pertama oleh Two Point Studios iaitu Two Point Hospital sebelum ini juga mendapat pujian ramai oleh peminat dan ini sememangnya satu langkah yang menarik buat mereka.
Kami di Aksiz juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya buat mereka dan sama-sama kita nantikan projek baharu oleh Two Point Studios.