Brightburn adalah satu filem seram yang diarahkan oleh James Gunn. Apa yang menarik dengan filem ini adalah, ia dihasilkan berdasarkan kisah asal-usul Superman. Bayangkan apa yang Clark Kent lalui semasa zaman kanak-kanak seperti mempelajari yang beliau mempunyai kuasa dan sering dibuli pada perspektif yang seram, ngeri dan dahsyat.
Terkini, Sony telah menerbitkan satu klip khas di YouTube. Klip ini memfokuskan adegan di kedai makan yang pernah diperlihatkan dalam video acah sebelum ini. Cuma kali ini ia lebih jelas, seram, ngeri dan mengejutkan. Brandon Breyer atau dikenali sebagai Brightburn telah menyerang seorang wanita dalam kedai makan. Kaca pecah dan termasuk dalam mata si wanita tadi. Wanita tadi pula kemudiannya mencabut kaca tersebut dan pendarahan serius mula berlaku.
Adegan menyeramkan seperti ini digelar sebagai adegan Red-Band, yang mana memberi maksud R-Rated atau di Malaysia adalah untuk tontonan 18 tahun ke atas. Brightburn sudah pun ditayangkan di Malaysia bermula hari ini – 9 Mei 2019. Jika anda ingin lihat filem ‘Superman’ jahat dan seram, saksikan di pawagam hari ini.