Informasi Permainan Video Terkini
5 Permainan Yang Perlu Mendapat Sekuel

5 Permainan Yang Perlu Mendapat Sekuel

Diterbitkan pada Mei 10, 2019 oleh .

Kebanyakan permainan utama (triple A) merupakan permainan sekuel kepada permainan yang sudah digemari ramai. Sekuel lebih menjadi pilihan oleh pembangun kerana ia lebih mudah untuk dipasarkan berbanding siri permainan baharu.

Namun, ada juga beberapa permainan kebanyakan yang tidak mendapat sambutan seperti yang dijangkakan hanya dikeluarkan sekali sahaja dan tidak lagi mendapat sekuel walaupun ia mempunyai penceritaan serta permintaan untuk terus disambung.

Melalui artikel ini saya akan senaraikan 5 permainan yang saya rasakan walaupun bukan permainan terbaik tetapi cukup baik untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu sekuel. Senarai ini hanya terhad untuk permainan yang mempunyai satu siri permainan sahaja, oleh disebabkan itu walaupun saya sangat inginkan Half-Life 3, ia tidak akan disertakan.

Berikut adalah 5 permainan yang saya mainkan semasa dikeluarkan dahulu tetapi masih ternanti-nanti untuk mendapatkan sekuel;

The Wolf Among Us

The Wolf Among Us merupakan permainan yang dikeluarkan oleh Telltale Games berdasarkan siri komik Fable yang mengubah penceritaan klasik seperti Big Bad Wolf dan Snow White. Ia adalah seperti mana permainan lain yang dikeluarkan oleh Telltale Games dan bagi saya The Wolf Among Us adalah antara yang terbaik pernah dikeluarkan oleh mereka.

Ia mempunyai perwatakan dan jalan cerita yang menarik, pilihan yang diberikan juga sangat menarik membuatkan saya bermain secara berulang kali untuk mencuba pilihan yang berbeza.

Sekuel untuk permainan ini sudah dirancangkan akan tetapi oleh kerana Telltale Games terikat dengan permainan lain, ia ditunda. Apabila Telltale Games ditutup, sekuel untuk permainan ini terus dibatalkan. Namun, saya berharap jika ia diteruskan oleh pembangun lain, kerana tiada permainan lain yang saya ketahui mengambil Fable sebagai sumber.

Shadow of Rome

Shadow of Rome dikeluarkan pada tahun 2005, ia dibangunkan serta diterbitkan oleh Capcom. Saya boleh katakan ia adalah antara permainan yang saya gemari untuk PlayStation 2.

Keunikan permainan ini adalah ia mempunyai 2 watak yang dikawal oleh pemain iaitu Agrippa dan Octavianus. Agrippa yang merupakan bekas tentera mempunyai bentuk permainan yang memfokuskan aksi. Manakala, Octavianus sebagai orang biasa, memfokuskan bentuk permainan menyelinap.

Selain itu, ia juga mempunyai jalan cerita yang menarik dan latar masa dan tempat berdasarkan zaman kegemilangan Rome menarik minat saya. Sekuel untuk permainan ini dibangunkan sebelum Shadow of Rome dikeluarkan akan tetapi kerana penjualan yang kurang baik ia dibatalkan.

Capcom sekarang yang berterusan mengeluarkan permainan yang baik, saya berharap mereka akan menyertakan permainan ini sebagai salah satu permainan yang akan dibawa kembali.

The Saboteur

The Saboteur dikeluarkan pada tahun 2009 tetapi saya bermain-nya agak lambat iaitu beberapa tahun lepas selepas ia disertakan sebagai permainan percuma untuk Origin Access. Selepas menghabiskannya saya terus mencari-cari mengenai perancangan untuk mengeluarkan sekuel.

Ia merupakan permainan dunia terbuka yang berlaku semasa perang dunia ke-2. Perkara tersebut yang menjadikan ia lebih unik, saya tidak merasakan ada permainan dunia terbuka lain yang berdasarkan perang dunia.

Namun, sayang sekali, Pandemic Studio yang membangunkan permainan ini, ditutup oleh EA pada tahun yang sama ia dikeluarkan. IP permainan ini masih dimiliki oleh EA, jadi saya berharap EA akan membawa kembali permainan ini.

Remember Me

Remember Me merupakan permainan yang dibangunkan oleh Dontnod dan diterbitkan oleh Capcom pada tahun 2013. Ia merupakan permainan aksi-pengembaraan di dunia futuristik.

Perkara menarik mengenai permainan ini adalah bagaimana ia menggunakan memori sebagai sebahagian daripada bentuk permainan. Pemain boleh menukar memori agak membuatkan seseorang mengingati sesuatu yang berbeza, pemain juga boleh menggunakan memori untuk melihat jika ada perangkap di sesetengah kawasan.

Menurut Dontnod, mereka telah menyiapkan penceritaan untuk Remember Me 2 dan bersedia untuk membangunnya tetapi perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Capcom pada masa sama mereka juga ingin membangunkan Life is Strange. Capcom kemudian mengatakan yang projek Remember Me 2 tidak lagi berbaloi untuk dilakukan.

Murder: Soul Suspect

Murder: Soul Suspect adalah permainan pengembaraan misteri yang dibangunkan oleh Airtight Games dan diterbitkan oleh Square Enix, Apabila permainan ini diumumkan pertama kali, saya amat tertarik dengan konsep menyiasat pembunuhan diri sendiri.

Secara keseluruhan permainan ini agak mengecewakan kerana terlalu ringkas dan membosankan, dan sejujur-nya saya sangat merasa rugi membeli permainan ini.

Mahupun begitu, saya masih berpendapat ia mempunyai dunia dan konsep yang menarik. Misteri mengenai apa yang berlaku di dalam permainan ini juga boleh dirungkai-kan lagi. Walaupun studio Airtight Games ditutup selepas permainan ini dikeluarkan, akan tetapi mungkin Square Enix dapat melakukan sesuatu berbanding mengeluarkan permainan seperti The Quiet Man.


Di atas adalah permainan-permainan yang saya ingin sekuel dikeluarkan, ia adalah berdasarkan permainan yang saya sudah main dah masih teringat di ingatan. Mungkin ada permainan yang saya tidak pernah cuba dan tidak teringat, jadi tinggalkan komen permainan-permainan yang anda ingin satu sekuel dikeluarkan.


TIPS & ULASAN