Bagi anda yang meminati peperangan robot mecha yang besar seperti Pacific Rim mahupun Gundam, anda mungkin akan berminat dengan permainan baharu oleh Drakkar Dev ini iaitu War Tech Fighters.

War Tech Fighters merupakan permainan aksi robot mecha yang bertempatkan di angkasa lepas. Melaluinya, pemain berupaya untuk bertempur secara jarak dekat mahupun jarak jauh dengan pelbagai jenis senjata futuristik seperti laser, pedang mahupun pelbagai jenis pengubah-suai robot yang pemain boleh lakukan.

Menurut penerbit permainan ini, Blowfish Studios menyatakan bahawa permainan ini akan dilancarkan pada 27 Jun ini di konsol Playstation 4, Xbox One dan Switch. Permainan asalnya dilancarkan di PC melalui Steam pada tahun lepas. Melalui versi konsol ini, permainan ini akan menyertakan beberapa kandungan baharu seperti senjata dan kelengkapan khas yang bakal tiba secara bersama.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan permainan ini di konsol, ianya akan mula dijual menjelang Jun dengan harga bermula $19.99(~RM84) melalui Nintendo eShop, Microsoft Store dan PSN Store.

Sohor Kini