Tahun lepas, Bandai Namco mengumumkan yang mana permainan aksi pengembaraan Code Vein ditundakan sehingga tahun ini dan kemudiannya informasi lanjut berkenaan permainan tersebut tidak langsung dikongsikan oleh mereka.
Terkini, Bandai Namco akhirnya mengumumkan yang mana mereka akan mengadakan ujian atas-talian buat permainan tersebut buat konsol Playstation 4 dan juga Xbox One. Menurut Bandai Namco, ujian tersebut bertujuan untuk menguji sistem atas-talian buat pelayan Code Vein.
Buat masa ini, tarikh ujian atas-talian tersebut masih belum diumumkan secara rasmi, namun menurut Bandai Namco mereka bakal mengadakan pada pertengahan Mei ini dengan sejumlah 30,000 pemain. Bagi anda yang berminat, pendaftaran bagi pemain Playstation sudah pun bermula hari ini sehingga 24 Mei ini. Pautan pendaftaran tersebut akan kami kongsikan di bawah.
[info] Daftar: Ujian Atas-Talian Code Vein [/info]
Untuk mendaftar ujian tersebut, anda memerlukan akaun Bandai Namco ID yang mana ianya adalah terhad untuk 1 penyertaan bagi seorang pemain sahaja. Dukacitanya, jika anda memasuki pautan yang disediakan oleh Bandai Namco, ianya dipaparkan di dalam bahasa Jepun, namun pendaftaran tersebut agak senang di mana anda hanya perlu menekan butang yang tersedia dan meletakkan emel anda.
Untuk memudahkan pendaftaran tersebut, kami sarankan anda untuk menggunakan pelayar web Chrome dan menterjemahkan laman tersebut dengan fungsi yang terdapat di dalam pelayar web tersebut. Setelah anda mendaftar, anda hanya perlu menunggu sebarang maklum balas melalui emel oleh Bandai Namco.

Dari segi kandungan ujian atas-talian Code Vein tersebut, ianya akan menyertakan bahagian permulaan permainan yang mana pemain berupaya untuk mengubah-suai watak pemain mengikut citarasa pemain.
Selain itu, pemain juga berupaya untuk meneroka kawasan Town Of Sacrifice di mana ianya adalah kawasan pendalaman yang penuh dengan pelbagai musuh yang kuat. Melalui bahagian ini, pemain ditugaskan untuk mencari ‘3 kunci’ di mana ianya akan membuka satu pintu khas untuk pemain bertempur dengan ketua musuh terakhir yang sangat kuat.
Melalui ujian tersebut juga pemain berupaya untuk mengubah-suai pelbagai bentuk ‘hadiah’ yang terdapat di dalamnya dan bentuk koperasi multi-pemain juga boleh di akses oleh pemain. Selain daripada itu, akan terdapat pelbagai senjata, musuh dan watak yang akan pemain tempuhi sepanjang sesi ujian ini.
Code Vein akan dilancarkan tahun ini dan menurut Bandai Namco ianya bakal tiba di pasaran Malaysia buat konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Namun, dari segi ujian atas-talian ini, seperti yang dikongsikan oleh kami di atas, ianya hanya buat pemain Playstation 4 dan Xbox One sahaja.
Untuk informasi lain, akan kami kongsikan setelah Bandai Namco umumkan kelak.