Siri JRPG Tales Of oleh Bandai Namco sememangnya terkenal di kalangan pemain di seluruh dunia. Siri tersebut pertama sekalinya dilancarkan pada tahun 1995 di konsol Super Famicom dan kemudiannya berkembang dengan pelbagai siri Tales Of yang mana siri terkini iaitu Tales Of Vesperia Definitive Edition yang kami ulaskan sebelum ini.

Terkini, Bandai Namco mengumumkan bahawa siri tersebut kini telah pun terjual melebihi 20 juta salinan seluruh dunia. Sememangnya ini satu pengumuman yang sangat mengujakan buat Bandai Namco dan bersempena dengan itu, mereka juga menyertakan beberapa ganjaran khas buat peminat secara percuma.

Antara ganjaran yang disediakan oleh Bandai Namco adalah set latar belakang khas Tales Of Vesperia: Definitive Edition yang pemain boleh dapatkan melalui laman rasmi Tales Of. Selain itu, mereka juga menyediakan beberapa ikon yang mana juga boleh dimuat-turun secara percuma.

Manakala ganjaran lain pula adalah melalui promosi tawaran permainan Tales Of bersama-sama dengan kempen Twitter khas dengan tagar
♯テイルズオブメモリー. Akan tetapi kempen dan tawaran promosi ini adalah terhad di pasaran Jepun sahaja. Meskipun begitu, anda masih lagi boleh memuat-turun latar belakang dan ikon siri Tales Of yang kami kongsikan di atas.

Sememangnya siri ini adalah sangat terkenal di kalangan pemain dengan pelbagai siri Tales Of yang telah dilancarkan sepanjang 24 tahun ini. Antara kesemua siri Tales Of, yang manakah siri Tales Of kesukaan anda? Saya sendiri amat menyukai Tales Of Abyss yang dilancarkan di Playstation 2 beberapa tahun lepas.

Sohor Kini