Garena dan Tencent Games hari ini mengumumkan yang kejohanan e-sukan untuk permainan MOBA Arena of Valor iaitu Piala Dunia Arena of Valor (AWC) 2019 akan berlangsung di Da Nang, Vietnam bermula pada akhir Jun sehingga pertengahan Julai ini.

Kejohanan tersebut akan memperlihatkan 12 pasukan dari 9 benua bertempur untuk merebut hadiah terkumpul sebanyak $500 ribu (RM2 juta) di mana tempat pertama akan membawa pulang $200 ribu (RM829 ribu).
Pasukan-pasukan yang akan menyertai kejohanan adalah dari Taiwan (2 pasukan), Thailand (2 pasukan), Vietnam (2 pasukan), Indonesia, gabungan Singapura/Malaysia/Filipina, Korea, Amerika Utara, China dan Jepun. Pasukan yang terpilih akan melalui pusingan kelayakan di negara masing-masing.

Pasukan yang mewakili gabungan Singapura/Malaysia/Filipina adalah M8HEXA dari Malaysia yang memenangi Valor Cup pada Mac lepas. Mereka juga mendapat tempat pertama semasa Malaysian Esports Selection 2019 menjadikan mereka sebagai wakil Malaysia ke Sukan Asia Tenggara 2019.
Bagi menjadikan perlawanan lebih menarik, AWC 2019 akan memperkenalkan “Global Ban Pick” bermula pusingan kalah mati. Melaluinya, pasukan tidak boleh menggunakan hero yang sama lebih daripada sekali di dalam perlawanan yang sama. Ini untuk menggalakkan penggunaan hero yang lebih pelbagai.
Arena of Valor adalah permainan MOBA yang boleh dimuat turun secara percuma di iOS, Android dan Switch.