Skip to main content

The Pantheon Group merupakan pengasas arena e-sukan yang pertama di Malaysia. Arena pertama yang ditubuhkan bertempat di One City, Subang Jaya, Selangor. Ia juga merupakan ‘iKafe’ platinum GeForce GTX yang pertama dan merupakan satu-satunya di Malaysia.

Hari ini, bersempena kejohanan The Elite Championship Series (TECS) – Counter Strike: Global Offensive yang berlangsung di KOMTAR, Pulau Pinang, mereka mengumumkan komitmen untuk mengembangkan industri e-sukan terutama di Malaysia.

Industri E-Sukan Sebagai Satu Ekosistem

Pengarah pengurusan The Pantheon Group Franky How, menyatakan untuk lebih memahami perkembangan industri e-sukan ini ia perlulah dilihat sebagai satu ekosistem. Tambah beliau, seperti ekosistem alam semula jadi, ekosistem e-sukan perlu kesemua pihak yang terlibat untuk bergerak bersama.

Beliau mengatakan bagi ekosistem industri e-sukan terdapat lima komponen berkait iaitu penerbit, pasukan, liga, kejohanan dan penstriman (saluran dan platform). Perkara yang menggerakkan setiap komponen ini adalah jenama dan juga peminat.

Menurut beliau lagi, tiada komponen yang dapat membawa industri e-sukan secara bersendiri kerana setiap komponen memerlukan sokongan daripada komponen-komponen yang lain.

Oleh disebabkan itu mereka terbuka untuk mengadakan kolaborasi dengan pelbagai pihak di dalam industri bagi mengembangkan ekosistem ini melalui pendidikan, program-program latihan serta peluang bimbingan.

Sumbangan Industri E-Sukan Kepada Negara

Bercakap mengenai bagaimana industri e-sukan dapat memberi sumbangan kepada perkembangan ekonomi negara, beliau mengatakan e-sukan bukan sekadar ‘bermain permainan video’. 

Industri e-sukan sudah menjadi satu industri yang lebih besar daripada jangkaan ramai, yang berpotensi untuk menyediakan pelbagai peluang kepada industri termasuk juga mencipta peluang pekerjaan seperti pembangun permainan, pereka grafik, pengatur cara sehinggalah pemasaran yang memfokuskan e-sukan.

Franky How juga mengatakan dengan perkembangan ini, industri juga perlu memastikan ia dilakukan dengan baik dan permasalahan yang mungkin hadir bersama dengan perkembangan ini harus diperhatikan.

The Pantheon Group juga merancang untuk menubuhkan pusat e-sukan di seluruh negara dan juga di asia tenggara.

Perkembangan Atlit E-Sukan Malaysia

Menurut beliau, sasaran The Pantheon Group adalah untuk mengubah persepsi rakyat Malaysia terhadap industri ini. Daripada dilihat sebagai pemain yang ketagih bermain permainan video, mereka harus dianggap sebagai atlit yang profesional.

Oleh disebabkan itu, mereka merancang untuk menyediakan pelbagai kejohanan e-sukan bagi pelbagai kumpulan pemain. Tegas beliau, mereka bukan sahaja ingin membangunkan pusat e-sukan paling modem di Malaysia, mereka juga ingin membantu perkembangan atlit e-sukan Malaysia dan untuk membawa mereka ke peringkat antarabangsa.

Sebagai penutup, beliau sekali lagi menegaskan yang untuk industri e-sukan berkembang dengan baik, setiap komponen di dalam ekosistem harus bekerjasama dengan pemacu industri dan juga pihak-pihak lain yang terlibat.

Leave a Reply