Ryan Reynolds sedia terkenal sebagai Deadpool. Namun, populariti Ryan mungkin lebih meningkat di kalangan umum disebabkan filem aksi-nyata Pokémon: Detective Pikachu. Percaya atau tidak, dalam filem ini suara Pikachu adalah suara Ryan Reynolds. Filem ini adalah berdasarkan daripada permainan Nintendo 3DS. Dalam 3DS, suara Pikachu adalah suara seorang yang lanjut usia. Manakala dalam filem aksi-nyata ia tidak.
Walaupun ada sedikit perbezaan, filem ini masih mengikuti elemen-elemen utama watak Pikachu dalam permainan tersebut. Salah satunya adalah ketagihan kepada kopi. Ya, Pikachu dalam Detective Pikachu adalah seekor makhluk Pokémon yang sangat gemarkan kafein. Agak menarik untuk melihat pihak produksi dan pengarah masih kekalkan beberapa elemen utama.

Jika anda tertanya-tanya kenapa Pikachu ketagih akan kopi, Famitsu tahun lepas pernah menemuramah penerbit permainan Detective Pikachu ini. Menurut Hiroyuki Jinnai, jika detektif yang klasik dan klise gemarkan hisap paip – Pikachu mempunyai identiti tersendiri dengan hanya ketagih kepada kopi dan bukannya tembakau.
Filem ini akan ditayangkan pada minggu hadapan iaitu 9 Mei 2019. Jika anda seorang peminat Pikachu, sama-sama kita saksikan di layar perak kelak.