505 Games dan Artplay akhirnya berkongsi tarikh pelancaran buat permainan Bloodstained: Ritual of the Night, permainan yang dibangunkan oleh Koji Igarashi, iaitu bekas penerbit siri Castlevania di mana ianya bakal tiba 18 Jun ini buat Playstation 4, Xbox One dan PC secara digital. Manakala versi Switch dan digital pula bakal tiba 25 Jun, seminggu selepas versi lain.
Menurut 505 Games, versi fizikal juga akan mula dijual melalui pengedar rasmi permainan tersebut bermula 21 Jun untuk Playstation 4 dan Xbox One, manakala versi fizikal buat konsol Switch akan mula dijual pada 28 Jun.
Bloodstained: Ritual of the Night merupakan permainan aksi side-scroller RPG yang bertempatkan pada abad ke-19 di mana pemain akan bermain sebagai Miriam dan bertempur dengan pelbagai jenis musuh. Bagi anda yang meminati siri Castlevania, permainan ini sememangnya dibangunkan khas oleh penerbit siri tersebut dengan inspirasi berdasarkannya.
Menariknya, ketika versi alpha yang dilancarkan sebelum ini, peminat banyak memberi kritikkan berkenaan visual permainan dan Artplay membalas dengan menaik-taraf dan menukar hampir keseluruhan visual permainan tersebut yang mana anda boleh lihat di video di atas.
Semestinya visual baharu yang diperlihatkan adalah sangat menarik sekali dan kami sendiri di Aksiz tidak sabar untuk bermain permainan ini. Bagi anda yang meminati permainan bergenre seakan Castlevania, pastikan anda mendapatkan permainan ini menjelang Jun ini.