Perkembangan teknologi di era globalisasi sekarang sememangnya meningkat dengan pesat dengan pelbagai simulasi dan peningkatan teknologi permotoran dari Formula 1 dan sebagainya.
Akan tetapi, sukan permotoran tersebut agak terhad dan tidak semua mempunyai akses untuk berlumba secara profesional. Namun, dengan teknologi permainan video melalui konsol dan sebagainya, bentuk simulasi perlumbaan kini boleh di akses dengan hanya bermain permainan video di rumah.

Alex Yoong, iaitu pengasas Axle Motorsport dan juga bekas pemandu F1 Malaysia, hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa kejohanan eRacing Grand Prix SEA di Malaysia, iaitu kejohanan e-sukan untuk permainan perlumbaan. Menurut beliau, pertandingan ini bukan sahaja akan bertujuan untuk mencari bakat baharu pemain permainan perlumbaan profesional malah mereka juga ingin menjadi platform ini untuk melatih pemain kepada pelumba di litar sebenar.
Alex Yoong juga menyatakan bahawa simulasi perlumbaan berlainan dengan permainan e-sukan yang lain di mana konsep dan teknik berlumba boleh di bawa ke litar sebenar, terutamanya dengan teknologi dan kandungan yang terdapat di dalam permainan Gran Turismo Sport melalui konsol Playstation 4.
Menurut pengurus perhubungan awam Sony Interactive Entertainment, Ian Purnomo juga menyatakan bahawa Playstation 4 sudah pun menjadi konsol pilihan dengan harga berpatutan di Malaysia ini. Dengan kerjasama ini, mereka percaya kejohanan ini boleh disertai untuk semua pemain di Malaysia tidak kira umur dan pasti akan membuka peluang untuk mencari bakat-bakat tersembunyi.

Melalui kejohanan ini, Alex Yoong menyatakan ianya bakal bermula Jun ini di mana ia akan memfokuskan bentuk ujian masa selama 2 minggu. Kemudian 40 pelumba teratas akan mendapat latihan dan akan bertanding di pusingan seterusnya untuk mencari juara, yang mana mereka akan berpeluang untuk menjadi pelumba di litar yang sebenar.
Kejohanan ini juga bukan sahaja akan berlangsung di Malaysia, malah negara-negara lain juga bakal di adakan selepas Malaysia seperti di Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand di mana setiap pemenang Grand Prix tersebut akan dilatih dan berpeluang untuk berlumba di litar yang sebenar di Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) sebagai pelumba profesional.
Buat masa ini, informasi lanjut berkenaan pilihan dan tarikh rasmi bersama lokasi eRacing Grand Prix SEA masih belum diumumkan secara rasmi. Teruskan bersama kami di mana kami pasti akan berkongsikannya setelah ia diumumkan kelak.