Anno 1800 baru sahaja dilancarkan beberapa minggu lepas di PC melalui Epic Games Store. Permainan simulasi pembinaan tersebut dilancarkan oleh Ubisoft dan dibangunkan oleh Blue Byte.
Terkini, Ubisoft mengumumkan bahawa Anno 1800 merupakan permainan terlaku buat siri Anno di mana mereka menyatakan Anno 1800 telah terjual empat kali ganda pada minggu pertama berbanding dengan Anno 2205 yang dilancarkan pada 2015 lepas.
Bagi anda yang baru dengan siri ini, Anno 1800 adalah permainan simulasi pembinaan yang mana pemain berupaya untuk mengawal dan mengurus bandaraya, politik dan sebagainya. Melalui Anno 1800, permainan ini memfokuskan abad ke-19 yang mana pasti akan memberi pelbagai cabaran buat pemain.
Bersempena dengan kejayaan ini, Benedikt Grindel iaitu pengurus pengarha permainan ini juga menyatakan bahawa mereka sangat berbangga dengan sokongan yang pemain berikan bersama-sama dengan kerjasama komuniti yang baik. Beliau juga menyatakan mereka kini akan komited untuk membawa pelbagai lagi kandungan tambahan buat permainan tersebut pada masa akan datang.
Selain itu, Ubisoft juga berkongsi yang mana sejak pelancaran permainan tersebut bulan lepas, pemain kini telah mencapai hampir 7 bilion penduduk sepanjang kepulauan permainan tersebut. Selain itu, pemain juga telah menghasilkan lebih dari 10 juta kapal, lebih dari 1 bilion padang bijiran dan lebih dari 3 juta pulau telah diduduki oleh penduduk.
Semestinya ini adalah satu kejayaan yang besar buat siri ini dan ia sudah pasti adalah berita yang baik sekali untuk Ubisoft. Kami percaya pada masa akan datang mereka pasti akan menghasilkan pelbagai lagi kandungan yang menarik untuk pemain.
Bagi anda yang berminat untuk bermain permainan Anno 1800, ianya telah pun dilancarkan di PC melalui Epic Games Store di mana ia dijual dengan harga $59.99(RM248).