Skip to main content

Death Stranding semestinya salah satu permainan yang dinantikan oleh peminat dan informasi berkenaan permainan tersebut agak samar akibat Hideo Kojima tidak banyak berkongsi berkenaannya.

Setakat ini, kita hanya menerima beberapa video acah sahaja dan kebanyakkan video tersebut masih lagi mengelirukan dan bentuk permainan pula tidak banyak dikongsikan.

Terkini, ketika di acara Tribeca Film Festival yang berlangsung minggu lepas di New York, Amerika Syarikat, Hideo Kojima bersama-sama dengan Norman Reedus dan Geoff Keighley berkongsi sebilangan informasi tambahan berkenaan permainan tersebut.

Menurut pengguna forum ResetEra, Cerium, Hideo Kojima menyatakan bahawa permainan Death Stranding adalah permainan aksi dunia terbuka yang memfokuskan sesuatu yang baharu buat genre tersebut. Beliau menyatakan bahawa sambungan ataupun hubungan yang terdapat di dalam permainan tersebut adalah tema utama permainan tersebut.

Di dalam penceritaan dan bentuk permainan, ‘sambungan’ akan menjadi kunci dan semua pemain akan berhubung antara satu sama lain. Kojima juga menyatakan bahawa ianya agak sukar untuk menyeimbangkan penceritaan di dalam permainan dunia terbuka yang mana mereka perlu memberi kebebasan buat pemain dan pada masa yang sama memberi satu bentuk arah naratif buat mereka. Namun, Kojima menyatakan beliau masih lagi ingin memberi pemain ‘pilihan’ di dalam penceritaan tersebut.

Apabila bercakap berkenaan pelakon, beliau menyatakan bahawa beliau sememangnya boleh hasilkan permainan tersebut dengan visual komputer, namun ianya agak terhad. Menurut beliau, pelakon profesional berjaya mengejutkan beliau dengan nilai kedalaman lakonan yang dilakukan oleh mereka. Dengan teknologi ini, beliau juga tidak lagi boleh menghasilkan sesuatu permainan tanpa teknologi tangkapan gerakan (Motion Capture).

Kojima menyatakan informasi lanjut berkenaan permainan tersebut pasti akan dikongsikan dalam masa sebulan atau dua selepas ini dan beliau pasti akan menghasilkan permainan video sehingga beliau meninggal. Manakala Norman Reedus pula menyatakan bahawa pemain pasti akan menangis ketika permainan ini akibat ianya pasti akan memberi satu impak emosional yang tinggi.

Setakat apa yang dikongsikan oleh Hideo Kojima, semestinya permainan Death Stranding kelihatan sangat menarik di mana permainan ini memfokuskan bentuk sambungan atau hubungan antara pemain lain yang pasti akan mengejutkan pemain. Kami sendiri pasti tidak sabar untuk bermainnya. Namun, buat masa ini sebarang informasi tambahan tidak dikongsi dan apa yang pasti permainan ini akan dilancarkan secara eksklusif di Playstation 4.

Leave a Reply