Sebelum ini, Bandai Namco berkongsi satu video acah khas buat DLC seterusnya bagi permainan Ace Combat 7: Skies Unknown yang dilancarkan sebelum.
Terkini, mereka berkongsi satu video khas memperlihatkan kandungan-kandungan yang bakal mereka sertakan buat mereka yang membeli pas musim permainan tersebut.
Antara kandungan yang disertakan adalah 3 jet pejuang baharu iaitu, ADF-11F Raven, ADF-01 Falken dan ADFX-01 Morgan. Menurut Bandai Namco, ketiga-tiga jet ini akan tiba secara berperingkat bermula 22 Mei ini dengan Raven dan diikuti dengan Falken pada 26 Jun dan Morgan pada 31 Julai ini.
Ketiga-tiga jet pejuang tersebut akan mempunyai senjatanya tersendiri seperti senjata laser dan juga jet kecil tanpa pemandu yang pemain boleh gunakan untuk bertempur di dalam mod penceritaan dan juga mod multi-pemain. Selain itu, pas musim permainan ini juga akan menyertakan beberapa lambang dan rekaan warna khas buat jet pejuang pemain.
Dari segi kandungan lain seperti kandungan penceritaan dan informasi lanjut berkenaannya, Bandai Namco masih belum berkongsikannya.
Ace Combat 7: Skies Unknown merupakan permainan simulasi jet pejuang oleh Bandai Namco. Permainan tersebut telah pun dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan juga PC. Kami di Aksiz juga telah mengulas permainan tersebut dimana anda boleh membacanya di bawah.