Respawn hari ini mengumumkan perkembangan terbaru untuk permainan pertempuran royale mereka Apex Legends. Penerbit permainan tersebut Drew McCoy mengatakan sambutan yang diperoleh oleh permainan tersebut adalah di-luar jangkaan mereka.
Walaupun ia adalah satu pencapaian yang baik, ia juga membawa pelbagai cabaran yang perlu diselesaikan oleh mereka. Beliau juga mengatakan mereka melakukan beberapa kesilapan seperti kemaskini yang tidak stabil, tidak menjelaskan mengenai kandungan masa hadapan kepada pemain dan tidak memberi jangkaan yang baik untuk sokongan permainan tersebut.
Oleh disebabkan itu, beliau mengatakan Respawn akan terus menjadikan permainan tersebut lebih baik. Mereka akan memfokuskan kepada prestasi pelayan permainan, masalah audio, penipuan di dalam permainan, dan juga masalah hit registration.
Selain penambah-baikkan permainan, beliau juga sedar yang pemain inginkan kandungan baharu untuk permainan tersebut. Mengenainya, beliau mengatakan sasaran jangka panjang untuk permainan tersebut adalah memastikan ia rasa hidup dan berkembang maju dengan memfokuskan kandungan berkualiti berbanding kekerapan penambahan.
Beliau juga menegaskan Respawn mementingkan kesejahteraan pasukan pembangunan mereka dan ingin mengelak daripada bekerja lebih masa yang boleh menyebabkan burnout. Ini mungkin merujuk kepada laporan yang pembangun Fortnite terpaksa bekerja lebih 70 jam seminggu.
Bagi memberi lebih fokus kepada Apex Legends, beliau juga mengatakan perancangan untuk permainan baharu Titanfall buat masa ini akan ditangguhkan tetapi tiada perubahan untuk pembangunan permainan Star Wars Jedi: Fallen Order yang dibangunkan oleh pasukan yang lain.
Apex Legends mempunyai permulaan yang baik, tetapi agak sukar untuk bersaing dengan Fortnite yang sering mendapat kandungan baharu, tetapi pada masa sama kita perlu juga bertanya mengenai kos kemanusiaan yang hadir untuk membawa kandungan-kandungan tersebut.