Skip to main content

Dengan pelancaran Red Dead Redemption 2 pada bulan November lepas, mesti ramai tertanya-tanya apakah permainan seterusnya oleh Rockstar Games. Antara yang sering diperkatakan adalah permainan Bully 2 yang mana sebelum ini ianya dilaporkan bahawa ia adalah permainan seterusnya oleh mereka.

Akan tetapi, kini tampaknya Rockstar Games mungkin juga sedang membangunkan permainan Grand Theft Auto seterusnya di mana minggu ini, seorang artis pereka 3D model bernama Bibin Michael menyenaraikan di Artstation bahawa beliau kini sedang bekerja di studio permainan Rockstar Games yang terdapat di India.

Menariknya, senarai pekerjaan beliau disenaraikan bahawa beliau sedang menghasilkan karya konsep kenderaan untuk permainan GTA5 dan GTA6. Namun, senarai tersebut sudah pun dipadam sekarang dan menurut laporan PC GamesN, Bibin Michael juga tersenarai di nama kredit untuk Red Dead Redemption 2, sekaligus mengesahkan bahawa beliau adalah staf Rockstar Games.

Sememangnya buat masa ini, ianya hanyalah satu ura-ura dan buat masa ini Rockstar Games masih belum mengumumkan sebarang informasi lanjut berkenaannya. Namun, dengan pelancaran Red Dead Redemption 2 yang baik dicampur dengan hasil jualan Grand Theft Auto 5 yang semakin meningkat, kami percaya Rockstar Games kini sedang membangunkan permainan seterusnya oleh mereka. Namun, manakah satu pilihan anda untuk permainan seterusnya oleh Rockstar Games, adakah Bully ataupun Grand Theft Auto? Tinggalkan pendapat anda di bawah.

Leave a Reply