Seperti yang kami kongsikan sebelum ini, musim ke-3 buat Mobile Legends Professional League (MPL) akhirnya bermula di mana pusingan kelayakan telah pun berlangsung sepanjang bulan lepas.

Sepanjang kejohanan tersebut 8 pasukan berjaya ke pusingan Playoffs di mana acara tersebut akan berlangsung di Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada hujung minggu ini iaitu 20 dan 21 April ini.

8 pasukan tersebut terdiri daripada pasukan Bopsskurr Gaming, Geek Fam, Rebord dan Xpax X-Assins daripada Malaysia. Manakala pasukan daripada Singapura pula adalah Bigetron SG, EVOS, Esports SG, Nara Esports dan Resurgence. Kelapan-lapan pasukan ini akan bertempur hujung minggu ini di Sunway Pyramid, untuk merebut wang hadiah terkumpul melebihi RM200,000.

Bagi anda yang ingin memberi sokongan, anda boleh menghadirkan diri di acara tersebut pada hujung minggu ini di LG2 Blue Atrium, Sunway Pyramid, Petaling Jaya dan berpeluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti menarik dan memenangi pelbagai hadiah percuma eksklusif.

Tambahan itu, bagi anda yang berkunjung ke acara tersebut dengan berpakaian berwarna jingga, anda akan berpeluang untuk memenangi hadiah khas yang dianjurkan oleh UMobile untuk acara Wear Orange ANd Win. Antara hadiah-hadiah yang disertakan adalah kostum epik, patung figura aksi Mobile Legends dan sebagainya.

Selain daripada memenangi hadiah dan menyaksikan pusingan Playoff buat MPL musim ke-3 tersebut, anda juga berpeluang untuk berjumpa dengan juruhebah sosial terdiri daripada Fiera, Faraz, Cortz dan sebagainya di acara tersebut.

Ketika di acara tersebut, Logan Shaw iaitu ketua e-sukan dari Moonton juga menyatakan bahawa mereka sangat teruja untuk mengadakan acara kejohanan ini di Malaysia. Dengan peningkatan keupayaan pasukan-pasukan di rantau ini juga telah mencapai peringkat Asia Tenggara dan juga dunia. Namun, ketika ditanya berkenaan pembahagian liga antara Malaysia dan Singapura, buat masa ini tiada rancangan untuk masa terdekat ini.

Meskipun begitu, sama-sama kita hadirkan diri ke acara tersebut dan bagi anda yang tidak berpeluang untuk menyaksikannya secara langsung, Moonton juga mengadakan acara langsung buat kejohanan tersebut di siaran Astro eGG Network dan laman rasmi Facebook Mobile Legends Bang Bang.

Sohor Kini