Informasi Permainan Video Terkini
Permua Attack On Titan Tactics Diumumkan – Bakal Dilancarkan Tahun Ini

Permua Attack On Titan Tactics Diumumkan – Bakal Dilancarkan Tahun Ini

Diterbitkan pada Apr 19, 2019 oleh .

DeNA hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa permua khas berdasarkan anime terkenal, iaitu Attack On Titan di peranti iOS dan juga Android.

DeNA sebelum ini terkenal dengan permua Final Fantasy Record Keeper menyatakan bahawa permua Attack On Titan Tactics tersebut akan dilancarkan secara global tahun ini. Namun bagi pasaran Jepun, ianya kini sudah boleh dimuat-turun.

Attack On Titan Tactics merupakan permua yang memfokuskan bentuk pertempuran masa nyata dan pada masa yang sama bentuk taktikal yang memfokuskan pemain untuk menghasilkan pasukan elit ‘Rejim Pengakap’ untuk bertempur dengan gergasi.

DeNa juga mengesahkan bahawa permua ini juga akan mempunyai penceritaannya tersendiri yang memfokuskan musim pertama anime tersebut. Manakala kandungan musim kedua akan ditambah kemudian bersama-sama dengan penceritaan asli dan acara permainan.

Permainan ini juga akan menyertakan 38 watak daripada siri anime Attack On Titan seperti Eren, Mikasa dan juga Levi bersama-sama dengan suara latar asli yang dirakamkan khas untuk permua ini. Setiap watak tersebut akan mempunyai kemahiran mereka sendiri dan pemain perlu bijak menyusun watak-watak tersebut untuk mengalahkan gergasi-gergasi.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan permua ini, pra-pendaftaran kini sudah bermula di laman rasmi Attack On Titan Tactis. Walaupun begitu, buat masa ini pelancaran bagi negara Malaysia masih belum diumumkan. Namun, kami percaya ianya bakal tiba setelah versi global dilancarkan yang mana ia dijadualkan bakal tiba tahun ini.


TIPS & ULASAN