Mortal Kombat 11 sudah diumumkan untuk Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC, namun NetherRealm Studio tidak memperlihatkan sebarang video permainan tersebut dimainkan di konsol Switch.
Ia menimbulkan tanda tanya jika mereka terpaksa mengurangkan kualiti untuk memastikan permainan tersebut dapat dimainkan di konsol hibrid tersebut.
Persoalan itu sedikit terjawab apabila demo permainan tersebut dapat dimainkan oleh pengunjung PAX East, dan media yang sempat mencubanya mengatakan ia dapat dimainkan dengan baik. Agak mengecewakan, tiada rakaman demo tersebut yang dibenarkan.
Hari ini, Warner Bros dan NetherRealm Studio akhirnya berkongsi video rasmi Mortal Kombat 11. Ia memfokuskan adegan permainan ini tetapi pertempuran diperlihatkan walaupun bukan secara terus.
Berdasarkan video tersebut saya boleh katakan grafik yang diperlihatkan nampak baik walaupun resolusi lebih rendah dan pembangun juga menjanjikan versi Switch akan dimainkan secara 60 kadar paparan sesaat.
Mortal Kombat 11 merupakan permainan perlawanan yang dibangunkan oleh NetherRealm Studio. Melalui permainan terkini ini, mereka akan menyertakan pelbagai kandungan baharu seperti pengubah-suai watak, penceritaan baharu dan pelbagai bentuk ganjaran permainan. Ia bakal tiba di Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC pada 23 April 2019.