Skip to main content

Di dalam dunia permainan video, Star Wars Knights of The Old Republic (KOTOR) mempunyai tempat yang istimewa kerana ia dibangunkan oleh BioWare. Ia berlaku 4000 tahun sebelum siri Star Wars semasa dan memasuki senarai 10 RPG yang terbaik pernah dihasilkan. Usai trilogi ketiga Star Wars pada Disember hadapan, kita mungkin akan kemudian dihidangkan pula dengan filem yang berasaskan dunia KOTOR.

Ini adalah menurut temubual di antara Kathleen Kennedy yang merupakan ketua studio Lucasfilm dengan pihak MTV News. Pihak LucasArt sedang membangunkan beberapa idea yang berkisar dengan KOTOR pada waktu ini. Namun begitu beliau turut berkata LucasFilm akan berhati-hati dengan sebarang projek Star Wars bagi mengelakkan terlalu banyak filem dari dunia ini dihasilkan.

Sebagai peminat KOTOR, filem adaptasi permainan video ini telah lama kami impikan kerana watak antagonis Darth Revan dan Darth Malak yang berbeza dengan watak jahat dari filem Star Wars yang dihasilkan. Watak sampingan seperti HK-47 pula sungguh menggelikan hati walaupun hanya sebuah robot. Tetapi secara ikhlasnya dengan jalan cerita yang kompleks, sebuah siri TV Disney+ seakan Mandalorian mungkin lebih sesuai untuk KOTOR. Apa pula pendapat anda?

Leave a Reply