Informasi Permainan Video Terkini
Adakah Dark Phoenix Filem ‘Kelahiran’ Semula Jean Grey?

Adakah Dark Phoenix Filem ‘Kelahiran’ Semula Jean Grey?

Diterbitkan pada Apr 18, 2019 oleh .

Dark Phoenix adalah filem francais X-Men terbaru. Menurut laporan filem ini dikatakan adalah filem terakhir francais X-Men di bawah naungan Fox. Terdapat ura-ura mengatakan yang filem X-Men di masa hadapan akan diolah semula untuk disertakan dalam MCU.

Fox sebentar tadi telah menerbitkan video acah terbaru Dark Phoenix. Video acah ini telah memberi petanda mengenai ‘kelahiran’ semula Jean Grey. Dalam video acah, turut dipertontonkan yang nama ‘Phoenix’ diberikan oleh pelajar-pekajar di Xavier’s School for Gifted Youngsters. Boleh dikatakan, filem ini adalah filem pembangunan watak Jean Grey kepada Phoenix dan kemudian menjadi jahat – Dark Phoenix.

Sebelum ini, pernah saya kongsikan di Aksiz yang ada kemungkinan besar filem ini adalah filem olahan semula X-Men: The Last Stand (2006). Kenapa ia diolah? Bukankah filem-filem X-Men berada dalam dunia yang sama? Jika anda ingat, tahun 2014 X-Men: Days of Future Past telah ditayangkan. Filem ini telah memperlihatkan Wolverine patah balik ke masa silam dan membaiki jalur masa. Jadi, jalan cerita The Last Stand tidak pernah berlaku.

Beberapa elemen dalam video acah ini memberi petanda yang amat jelas. Cuma, jika dalam X-Men: The Last Stand, Wolverine yang menamatkan riwayat Jean Grey – dalam Dark Phoenix siapa? Adakah Hugh Jackman akan muncul sebagai penampilan khas Wolverine? Kemudian, yang menjadi tanda tanya adalah satu watak antagonis misteri yang dilakonkan oleh Jessica Chastain. Nama watak lakonan beliau tidak didedahkan. Siapakah beliau sebenarnya?

Dalam video acah ini, apa yang berlaku pada Jean Grey bermula dari satu misi di angkasa. Yang mana mereka perlu selamatkan angkasawan yang ditimpa kemalangan. Namun, satu kecelakaan berlaku dan Jean terdedah pada satu tenaga yang sepatutnya membunuh beliau. Turut kelihatan adalah Storm (versi muda) kembali beraksi. Sayang sekali, ia adalah lakonan Alexandra Shipp dan bukannya Halle Berry.

Terdapat banyak juga kemusnahan, ahli X-Men tewas dan kejahatan Dark Phoenix kelihatan dalam video acah ini. Adakah Jean Grey akan mati atau berjaya diselamatkan? Sama-sama kita nantikan filem ini 6 Jun kelak.


TIPS & ULASAN