Seperti yang diperkatakan sebelum ini, Microsoft hari ini akhirnya mengumumkan secara rasmi konsol seterusnya oleh mereka iaitu Xbox One S All-Digital yang mana ianya adalah konsol Xbox One S tanpa pemacu optik dan hanya boleh mainkan permainan secara digital sahaja. Bersempena dengan itu, mereka juga mengumumkan langganan Xbox Game Pass Ultimate.
Konsol Xbox One S All-Digital akan dilancarkan pada 7 Mei ini yang mana ianya akan disertakan dengan satu alat kawalan Xbox One bersama storan 1TB. Menariknya, setiap pembelian konsol tersebut, Microsoft juga akan menyertakan 3 permainan secara bersama iaitu Sea Of Thieves, Minecraft dan juga Forza Horizon 3.
Walaupun begitu, dari segi harga pula, ianya akan dijual dengan harga $249.99(~RM1035) dan buat masa ini, pasaran Malaysia mahupun Asia Tenggara masih belum diumumkan. Ini sekaligus meletakkannya ia lebih murah berbanding Xbox One S biasa yang berharga $249.99(~RM1236).
Akan tetapi, Xbox One S di pasaran Malaysia dijual dengan harga sekitar RM900 dan sememangnya Xbox One S All-Digital agak mahal walaupun ianya tidak mempunyai pemacu optik. Namun, harga tersebut adalah harga rasmi oleh Microsoft buat pasaran Amerika Syarikat, sekaligus kami percaya ianya akan lebih murah setelah ianya dijual di sini.

Bersempena dengan itu, Microsoft juga mengumumkan langganan baharu untuk pemilik Xbox iaitu Xbox Game Pass Ultimate. Secara asasnya langganan ini adalah langgan Xbox Game Pass bersama-sama dengan langganan Xbox Live Gold yang diberkaskan secara bersama. Buat masa ini, tarikh pelancaran servis ini tidak diumumkan namun ianya dijadualkan bakal tiba tahun ini.
Menurut Microsoft, lagganan tersebut berharga $14.99(~RM62) sebulan. Ini sekaligus ianya penjimatan sebanyak $5(~RM21) memandangkan ianya mempunyai langganan Xbox Game Pass dan Xbox Live Gold yang berharga sekitar $10(~RM42) setiap satu.
Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan kedua-dua langganan tersebut, Xbox Game Pass merupakan langganan khas seakan Netflix namun dalam bentuk permainan di mana pemain berupaya untuk memuat-turun dan bermain kesemua permainan yang terdapat di dalam senarai Xbox Game Pass. Manakala Xbox Live Gold pula adalah servis langganan seakan Playstation Plus yang menyertakan permainan percuma setiap bulan dan membenarkan pemain untuk bermain secara multi-pemain atas-talian buat konsol tersebut.
Semestinya dengan pengumuman konsol dan servis langganan ini, kelihatan Microsoft tampaknya berminat untuk bergerak ke arah permainan secara digital. Walaupun begitu, konsol ini tidak bermakna ianya adalah konsol generasi seterusnya oleh Microsoft. Ini kerana ianya masih lagi berdasarkan konsol Xbox One S, yang mana boleh dikatakan mempunyai spesifikasi yang rendah jika ingin dibandingkan dengan konsol Xbox One X.
Meskipun begitu, bagi anda yang suka memiliki permainan secara digital, dengan adanya pilihan ini oleh Microsoft, mungkin akan terdapat lebih ramai pemain akan berminat untuk memiliki konsol Xbox One. Apakah pendapat anda berkenaan pengumuman ini? Adakah Microsoft mengambil keputusan yang bijak dengan pelancaran konsol ini? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen dibawah.