Jika anda gemar mengumpul konsol-konsol mini retro yang dilancarkan sebelum ini oleh Playstation, Nintendo dan juga SNK, anda mungkin berminat untuk mendapatkan konsol retro mini seterusnya oleh Capcom iaitu Capcom Home Arcade.
Seperti konsol-konsol mini yang lain, Capcom Home Arcade bakal menyertakan permainan secara terbina dan mempunyai sokongan HDMI untuk disambungkan ke TV moden, untuk dimainkan.
Akan tetapi, menariknya melalui rekaan Capcom Home Arcade ini, konsol tersebut akan mempunyai dua alat kawalan arked secara terbina bersama-sama dengan konsol tersebut. Sekaligus, alat kawalan tersebut akan terus disambungkan ke kaca TV melalui kabel HDMI, tanpa memerlukan satu lagi kotak konsol yang berbeza.
Menurut Capcom, konsol ini akan mempunyai 16 permainan klasik terbina iaitu:
- 1944: The Loop Master
- Alien Vs. Predator
- Armored Warriors
- Capcom Sports Club
- Captain Commando
- Cyberbots: Fullmate Madness
- Dark Stalkers: The Night Warriors
- ECO Fighters
- Final Fight
- Ghouls ‘n Ghosts
- Giga Wing
- Meta Man: The Power Battle
- Progear
- Street Fighter II: Hyper Fighting
- Strider
- Super Puzzle Fighter II: Turbo
Tambahan itu, apa yang membuatkan konsol mini lain daripada yang lain adalah ianya mempunyai sokongan Wifi secara terbina. Namun, buat masa ini sokongan tersebut hanya berfungsi sebagai pemain untuk memuat-naik markah di dalam permainan untuk dikongsi dan dipertandingkan dengan pemain-pemain lain. Dari segi sokongan seperti memuat-turun permainan baharu ataupun bentuk multi-pemain secara atas-talian, Capcom tidak mengumumkannya.
Menurut Capcom, konsol Capcom Home Arcade akan dilancarkan pada 25 Oktober 2019 ini dengan harga €229.99(~RM1,073). Namun ini masih lagi adalah berdasarkan harga negara Eropah sahaja dan buat masa ini, ianya masih belum diumumkan akan tiba di pasaran Malaysia ataupun tidak.