Untuk menjadi seorang peguam, semestinya ianya bukanlah satu perkara yang mudah dan ia mengambil masa bertahun untuk mendapat lesen rasmi dan sebagainya. Namun dengan perubahan industri permainan video yang menyertakan pelbagai permainan simulasi, anda kini berpeluang untuk menjadi peguam melalui permainan ‘simulasi’ peguam bela, Phoenix Wright: Ace Attorney Trilogy yang mana ianya dilancarkan oleh Capcom April lepas di konsol Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC.
Bagi anda yang baru dengan siri ini, Phoenix Wright: Ace Attorney Trilogy merupakan permainan koleksi siri Ace Attorney yang mana ianya menyertakan 3 permainan iaitu Phoenix Wright: Ace Attorney, Justice For All dan Trials And Tribulations. Ketiga-tiga permainan ini asalnya telah dilancarkan di Nintendo DS beberapa tahun lepas dan melalui versi ini, Capcom menyertakan beberapa penaik-tarafan, terutamanya dari segi visual.
Melalui permainan ini, anda akan bermain sebagai Phoenix Wright, iaitu seorang peguam bela yang mana permainan ini akan memfokuskan bentuk seakan visual novel dan pada masa yang sama penyelesaian misteri pembunuhan dengan beberapa tekaria yang menarik. Namun, adakah ini permainan penambah-baikkan untuk pemain veteran ataupun pengenalan untuk pemain baharu? Ini adalah ulasan saya.
Cerita
Memandangkan permainan ini adalah berbentuk visual novel, semestinya penceritaannya merupakan aspek utama permainan tersebut dan Phoenix Wright: Ace Attorney Trilogy mempunyai penceritaan yang sangat bagus sekali. Bukan sahaja cara penyampaiannya menarik di dalam setiap permainan, malah ianya membuka pelbagai bentuk naratif penyambungan yang sangat berkaitan antara satu sama lain.

Seperti yang saya kongsikan di atas, permainan ini akan memfokuskan pemain untuk bermain sebagai Phoenix Wright, iaitu seorang peguam bela yang mana pemain perlu mempertahankan klien-klien pemain. Meskipun begitu, permainan ini tidaklah memfokuskan undang-undang yang terlalu menyeluruh kerana kesemua kes-kes yang pemain hadapi adalah kes pembunuhan.

Apa yang membuat permainan ini lebih menarik adalah ianya menyertakan beberapa kes untuk setiap permainan dan boleh katakan mempunyai kandungan permainan melebihi 50 jam. Tambahan itu, setiap kes pembunuhan yang terdapat di dalam permainan ini kesemuanya mempunyai misteri dan cara penyelesaian yang berbeza.
Tidak dapat dinafikan setiap kes pertama yang terdapat di dalam ketiga-tiga permainan ini agak mudah di mana ia memperlihatkan suspek utama pada awal permainan, namun ianya merupakan kes pengenalan yang memberi peluang pemain untuk membiasakan diri dengan penyelesaian misteri permainan tersebut.
Apa yang membuat permainan ini yang sangat menarik, adalah terdapat beberapa kes yang berkait antara satu sama yang lain, di mana ianya bukan sahaja menghasilkan satu plot yang sangat menarik, malah naratif dan penyampaian misteri tersebut boleh dikatakan terbaik di antara plot-plot misteri pembunuhan yang terdapat di sebarang media era kini biarpun filem mahupun permainan video.

Capcom juga berjaya menghasilkan pelbagai jenis watak-watak yang menarik di dalam permainan ini di mana bukan sahaja terdapat beberapa adegan lucu malah terdapat juga beberapa adegan yang sangat serius di mana pasti akan memberi kesan kepada pemain secara mendalam.
Meskipun begitu, bagi anda yang pernah bermain permainan ini sebelum ini konsol Nintendo DS, ianya agak mendukacita kerana Capcom tidak langsung menambah sebarang kandungan dan penceritaan baharu. Malah, kesemua kandungan dan plot penceritaan adalah diambil secara terus daripada permainan 3 Phoenix Wright sebelum ini.
Grafik
Dari segi kualiti visual, penaik-tarafan utama yang dihasilkan semestinya sokongan resolusi definisi tinggi yang mana permainan sememangnya kelihatan lebih cantik jika hendak dibandingkan di platform Nintendo DS sebelum ini. Semestinya dari segi karya-karya latar belakang di campur ekspresi watak yang dihasilkan semula kelihatan sangat cantik sekali, terutamanya jika dimainkan di skrin beresolusi 4k.

Selain itu, dari segi paparan antara muka, Capcom juga mengubah beberapa tetapan permainan memandangkan permainan ini sebelum ini dimainkan di Nintendo DS dengan sokongan skrin sesentuh. Kini melalui versi trilogi ini, ianya banyak memfokuskan bentuk sokongan pergerakan menggunakan alat kawalan ataupun tetikus.
Akan tetapi, penaik-tarafan mereka terhenti setakat itu sahaja di mana ianya tidak langsung mempunyai kandungan tambahan ataupun adegan tambahan baharu. Melalui koleksi trilogi ini, Capcom hanya menaik-taraf visul kepada definisi tinggi sahaja dan ia agak mengecewakan pada pendapat saya, sebagai seorang yang telah pun bermain kesemua siri Phoenix Wright di Nintendo DS.

Sebelum ini, Capcom juga melancarkan permainan ini sebagai versi permua di peranti iOS. Namun, dukacitanya saya sendiri tidak pernah bermain versi tersebut. Akan tetapi, terdapat ramai peminat menyatakan versi pernaik-tarafan tersebut di ambil daripada versi permua permainan ini.
Akan tetapi, apa yang saya boleh katakan versi ini sememangnya adalah versi lengkap yang patut dimiliki dan dimainkan oleh mereka yang masih belum pernah bermain siri ini. Dengan visual yang lebih cantik dan tajam, rekaan watak dicampur dengan visual-visual lokasi pembunuhan dan sebagainya, permainan ini menjadi lebih jelas diperlihatkan melalui versi ini yang mana pasti akan tingkatkan lagi pengalaman permainan buat pemain.
Audio
Muzik latar di dalam permainan ini semestinya antara muzik latar terbaik yang saya pernah dengar dan bagi anda yang berminat muzik rock ataupun bentuk muzik yang pelbagai, sudah pasti permainan ini akan membuat pemain bersenandung dengan muziknya.
Antara muzik kesukaan saya semestinya saat di mana permainan ini meletakkan pemain di bahagian pemeriksaan balas dengan saksi yang mana pasti salah satu muzik yang dihasilkan dengan baik sekali. Selain itu, sudah pastinya muzik terbaik untuk permainan ini adalah muzik tema untuk Steel Samurai yang mana ianya penuh beraksi dan membuat saya sering mendengarkan muzik tersebut, walaupun ketika bersahaja.
Meskipun begitu, perkara yang agak mengecewakan saya adalah Capcom tidak menyertakan sebarang kandungan suara latar walaupun di dalam versi penambah-baikkan ini. Sudah semestinya ini hanyalah satu permainan koleksi trilogi sahaja, namun permainan seperti 999 oleh Spike Chunsoft yang asalnya dilancarkan di Nintendo DS, boleh menerima kemaskini suara latar setelah ianya dilancarkan semula, membuatkan saya berasa Phoenix Wright: Ace Attorney Trilogy ini sepatutnya mendapat penaik-tarafan yang sama.
Walaupun begitu, untuk membaca kesemua dialog-dialog yang terdapat di dalam permainan ini bukanlah satu perkara yang menyusahkan dan memandangkan permainan ini adalah bergenre visual novel, perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi satu masalah.
Akan tetapi, permainan ini telah pun dilancarkan berkali-kali di pelbagai platform termasuklah di telefon pintar dan dengan bentuk penambah-baikkan yang agak berkurangan ini, ianya membuat saya sedikit kecewa dengan apa yang Capcom sampaikan.
Kawalan
Secara asasnya, permainan Phoenix Wright: Ace Attorney Trilogy sememangnya memfokuskan bentuk seperti visual novel di mana kebanyakan sesi permainan hanyalah memerlukan pemain untuk klik dan membaca dialog seterusnya ataupun membuat pilihan. Namun, memandangkan permainan ini banyak memfokuskan bentuk penyiasatan, ianya juga menyertakan beberapa bentuk penerokaan agak mendalam.
Secara asasnya, permainan ini mempunyai dua bahagian bentuk permainan yang utama iaitu sesi di dalam mahkamah dan sesi penyiasatan. Dua bahagian ini jugalah merupakan akar utama permainan ini di mana ianya membuatkan permainan ini sangat unik dan berlainan dengan permainan lain.

Di dalam bahagian mahkamah, pemain akan membela klien pemain di mana pihak pendakwa raya akan memberi pelbagai tekanan seperti membawa saksi ataupun bahan bukti yang akan membuatkan klien pemain bersalah. Namun, apa yang pemain perlu lakukan adalah membalas perkara-perkara tersebut dengan bukti yang bercanggah dengan apa yang di sampaikan. Bentuk ini bukan sahaja memerlukan pemain untuk berfikir, malah terdapat beberapa kes yang terdapat di dalam permainan ini disampaikan dengan baik sekali yang mana misteri pembunuhan tersebut akan terungkai sedikit demi sedikit.

Selain itu, terdapat juga sesi pemeriksaan balas yang mana pemain berupaya untuk menemu bual saksi dan mencari kesalahan di dalam testimoni mereka yang mana mungkin satu penipuan ataupun bercanggah dengan bahan bukti. Bentuk ini terbahagi kepada dua tindakan utama yang pemain boleh lakukan iaitu memberi bahan bukti bahawa testimoni tersebut adalah satu kesalahan ataupun meminta saksi untuk memberi lebih banyak informasi berkenaannya.

Bentuk ini boleh apa dikatakan adalah sedikit sebanyak simulasi peguam yang pasti akan memberi keseronokan buat pemain dan pasti adalah salah satu apa yang membuatkan permainan ini sangat seronok untuk dimainkan.

Manakala bahagian kedua pula lebih memfokuskan kepada penyiasatan. Sememangnya, secara terasnya penyiasatan bukanlah satu tugas peguam, namun untuk membuatkan permainan ini lebih menarik, Capcom menyertakan bahagian ini supaya ianya akan mempunyai kepelbagaian dari segi bentuk permainan.
Apa yang pasti bentuk ini juga sangat menyeronokkan di mana pemain bukan sahaja akan menyiasat lokasi pembunuhan, malah pemain juga berupaya untuk bergerak ke pelbagai jenis lokasi termasuklah pusat tahanan untuk bercakap dengan suspek dan sebagainya.

Dari segi penyiasatan, pemain juga akan banyak berbual dengan saksi-saksi dan juga menyiasat kawasan-kawasan jenayah seperti mencari barang-barang tersembunyi dan sebagainya. Apa yang membuat ianya lebih menarik adalah pemain perlu peka dan pada masa yang sama berwaspada dengan segala bahan bukti yang tersembunyi. Terdapat juga beberapa mini permainan yang pemain perlu selesaikan di mana pasti setiap kes mempunyai keunikannya tersendiri.
Tetapi terdapat juga beberapa aspek kawalan permainan yang saya tidak menyukai terutamanya jika berkaitan dengan pergerakan watak. Ini kerana permainan ini mempunyai beberapa had pergerakan yang pemain boleh lakukan dan untuk bergerak dari satu lokasi, seperti contohnya dari A ke C, pemain perlu bergerak ke B dahulu. Ini sekaligus melambatkan proses pergerakan dan agak menjengkelkan. Walaupun begitu, ianya tidaklah merosakkan keseluruhan sesi permainan, namun ianya masih lagi membuatkan permainan ini berasa agak perlahan dan berulangan.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk berinteraksi dengan bahan-bahan bukti seperti mencari cap jari, melihat rakaman CCTV dan sebagainya, yang mana pasti membuatkan setiap kes yang terdapat di dalam permainan ini adalah sangat unik sekali.
Di dalam permainan kedua permainan ini, Capcom juga memperlihatkan beberapa fungsi dan bentuk baharu yang mana ianya memfokuskan beberapa elemen ghaib. Meskipun begitu, fungsi dan bentuk ini tidaklah merosakkan keseluruhan permainan malah ianya membuka cabang baharu yang lebih menarik di dalam siri trilogi ini.

Apa yang saya boleh katakan dari segi kawalan, sememangnya permainan ini mempunyai bentuk yang agak ringkas, seperti tunjuk dan klik sahaja bersama-sama dengan bentuk pembacaan dialog yang banyak. Namun, cara penyampaian permainan ini adalah cukup sempurna untuk plot penceritaan memandangkan ianya banyak memfokuskan pemain untuk merungkai misteri-misteri dan pada masa yang sama membela nasib klien pemain.
Akan tetapi, seperti yang saya kongsikan di bahagian-bahagian ulasan saya, dukacitanya dari segi bentuk permainan, Capcom sekali lagi tidak menambah sebarang perkara ataupun bentuk baharu buat koleksi permainan ini.
Kesimpulan
Apa yang saya boleh simpulkan, Phoenix Wright: Ace Attorney Trilogy sememangnya satu permainan yang menarik dan sangat berbaloi untuk didapatkan memandangkan ianya menyertakan 3 permainan di dalam 1 koleksi khas trilogi ini.
Akan tetapi, buat mereka yang sudah pun bermain permainan ini di platform lain, untuk mendapatkan versi penambah-baikkan ini, ianya berasa agak tidak berbaloi memandangkan Capcom tidak menyertakan sebarang penaik-tarafan yang besar dan permainan ini hanyalah satu koleksi permainan 3 permainan Phoenix Wright pertama sahaja.
Selain itu, dengan tidak menyertakan sebarang bentuk suara latar baharu mahupun bentuk permainan yang berbeza ataupun kandungan baharu, ianya membuatkan permainan ini berasa satu lagi permainan yang dinaik-taraf dengan resolusi definisi tinggi oleh Capcom, seperti mana yang mereka lakukan buat Onimusha Warlords sebelum ini.
Meskipun begitu, buat anda yang masih belum bermain siri permainan Phoenix Wright: Ace Attorney, semestinya ini adalah satu koleksi yang anda perlu dapat dan mainkan, kerana pada pendapat saya ini adalah siri permainan misteri pembunuhan terbaik dan pasti akan membuat anda terhibur dengan konsep misteri dan penyelesaian tekaria pembunuhan yang sangat baik sekali.

Penafian: Kod Ulasan Phoenix Wright: Ace Attorney Trilogy disediakan oleh Capcom