Informasi Permainan Video Terkini
Avengers: Endgame Adalah Filem Paling Penting Dalam MCU

Avengers: Endgame Adalah Filem Paling Penting Dalam MCU

Diterbitkan pada Apr 16, 2019 oleh .

Filem Marvel yang membawa kepada dunia Marvel Cinematic Universe (MCU) bermula pada tahun 2008 dengan filem Iron Man. Ia diteruskan pula dengan filem The Incredibles Hulk, di mana filem ini boleh dikatakan filem yang mengarut dan gagal kerana grafik CGI kualiti rendah, masalah pelakon utama dan banyak lagi. Ketika ini Disney masih belum membeli Marvel.

Pada tahun 2009, Disney telah membeli Marvel dan bermula tahun 2013 setiap tahun akan terdapat lebih 2 filem setahun. Sehinggalah tahun 2017, setiap tahun terdapat 3 filem yang ditayangkan.

Tahun demi tahun berlalu sudah 21 filem ditayangkan dan secara tidak langsung filem ini menjadi satu francais filem yang berkait antara satu sama lain yang terbanyak dunia dan filem dalam satu dunia paling besar iaitu MCU. Terdapat tiga fasa setakat ini, di mana filem ke-22 kelak adalah Avengers: Endgame dan merupakan filem yang menamatkan fasa ketiga.


Kenapa Endgame Penting Dalam MCU?

Seperti sub-topik di atas, akan saya terangkan kenapa filem Avengers: Endgame ini penting dalam MCU. Antaranya adalah hubungan Tony dan Steve, ahli-ahli asal Avengers dan juga filem-filem yang berkait antara satu sama lain.

Tony Stark vs Steve Rogers

Watak pertama adalah Tony Stark/Iron Man. Siapa yang mengikut filem-filem MCU beliau sejak 2008 pasti kenal, yang beliau terkenal dengan sifat kaki perempuan, berlagak, ego dan pentingkan diri sendiri. Namun selepas Avengers yang pertama, beliau mula berasa bertanggungjawab dan kerap berasa bersalah atas semua kecelakaan yang berlaku.

Pada Iron Man 3, Tony mula menghadapi Kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) dan kemudian berubah kepada kerap membayangkan kesemua ahli Avengers akan mati dan beliau adalah satu-satunya ahli yang selamat. Disebabkan itu, sifat bertanggungjawab yang tertanam pada diri beliau semakin utuh. Apa kaitan Tony dengan Endgame ini pula?

Jika anda teliti, Tony Stark dan Steve Rogers memang tidak sekepala dan sentiasa mempunyai pendapat yang berbeza. Sehingga suatu hari berlakunya perang persaudaraan kecil (Civil War) antara mereka berdua. Sejak dari filem Civil War yang ditayangkan pada tahun 2016 sehingga sekarang, tiada langsung adegan mereka berdua bersama-sama. Sehinggalah filem Endgame, dalam video acah memperlihatkan Captain America dan Iron Man kembali bersatu. Di sini jelas, betapa pentingnya hubungan silaturrahim antara satu watak dengan watak yang lain.

Jadi, dalam filem Endgame kelak – adakah hubungan Tony dan Steve ikhlas atau hanya kerana ingin tewaskan Thanos sahaja mereka berbaik? Perkara ini menjadi persoalan, kerana dalam video acah mencadangkan yang masa akan diubah. Adakah Tony dan Steve tidak pernah bergaduh atau Tony berbaik dengan Steve dari masa silam?

Original 6

Enam ahli asal dalam Avengers dikenali sebagai ‘The Original 6’. Ini kerana pada filem Avengers pertama, hanya enam ahli ini sahaja dalam pasukan ini; Iron Man, Hulk, Thor, Captain America, Black Widow dan Hawkeye.

Dalam filem Avengers pertama, Nick Fury telah rekrut Tony, Bruce dan Steve Rogers untuk sertai pasukan adiwira terhebat dunia ini. Thor pula, muncul dari planet lain dan secara tidak langsung sertai mereka. Manakala, Clint dan Natasha sudah pun bekerja dengan S.H.I.E.L.D dan mereka berdua memang di bawah jagaan Nick Fury. Selepas tamat Avengers pertama, akhir filem mereka pergi ke haluan masing-masing dan hanya tahun 2015 iaitu selepas tiga tahun baru mereka berkumpul semula dalam Avengers: Age of Ultron. Kemudian sekali lagi, mereka ke haluan masing-masing – Hulk larikan diri, ahli lain teruskan kehidupan masing-masing dan pasukan Avengers baru diperkenalkan.

Dalam Avengers: Endgame, ‘The Original 6’ dilihat telah kembali bersama sebagai satu pasukan. Itu adalah satu detik yang paling mengujakan, membuatkan saya rasa gembira, hati berdebar dan juga risau. Kali ini, bukan mereka berenam sahaja. Mereka disertai bersama-sama dengan ahli baru seperti Nebula, Rocket Raccoon dan Ant-Man.

Saya risau akan kumpulan ini kerana, takut detik ini adalah detik terakhir buat semua atau salah seorang daripada mereka. Adakah filem ini, penamat filem buat ‘The Original 6’?

Saya tidak menafikan yang ahli-ahli baru dalam pasukan Avengers hebat-hebat belaka. Tetapi identiti Avengers ramai mula kenal bermula filem Avengers tahun 2012. Jika dalam filem End Game ini mengumpulkan kesemua adiwira-adiwira filem MCU, tidak bermakna mereka adalah ahli Avengers – ada kemungkinan mereka hanya membantu pasukan Avengers bagi mengembalikan keamanan dunia.

Filem Yang Berkait Antara Satu Sama Lain

Seperti yang telah saya beritahu di pembukaan artikel, termasuk Avengers: Endgame – keseluruhan filem MCU sudah mempunyai 22 filem. Tetapi kenapa ia penting dan berkait dengan Endgame?

Setiap filem ini berkait antara satu sama lain. Imej di atas adalah infografik yang kami hasilkan, untuk mudah anda faham – kami sengaja tidak susun ikut turutan kronologi. Kami susunkan mengikut tahun ia dikeluarkan. Setiap filem ini, Disney dan Marvel telah merancang yang ia akan berakhir kepada satu filem dan setiap watak utama dalam setiap filem akan dikumpulkan dalam satu filem akhir.

Iron Man adalah di mana petanda wujudnya S.H.I.E.L.D dan Avengers, Captain America: First Avenger adalah di mana Infinity Stone pertama diperkenalkan, Captain America: Civil War pula adalah di mana Disney berjaya membuat perjanjian dengan Sony untuk memasukkan Spider-Man dalam MCU dan ia berterusan sehinggalah Endgame kelak.

Jika anda masih keliru, kami ada hasilkan video recap buat ketiga-tiga fasa filem MCU. Anda boleh tonton video tersebut melalui pautan di bawah ini;

Tidak semua filem mempunyai klu yang tersurat yang ia berkait antara satu sama lain. Ada juga filem yang mempunyai klu yang tersirat. Paling jelas yang berkait dengan Thanos, iaitu musuh besar dalam MCU adalah filem Guardians of The Galaxy (GoTG). Ini kerana, salah seorang watak dari pasukan GoTG – Gamora adalah anak angkat Thanos.

Kemudian adalah Tesseract. Tesseract adalah satu-satunya Space Stone, atau satu-satunya Infinity Stone yang kerap muncul dalam filem MCU. Teserract berkait dengan Iron Man, di mana bapa beliau telah mengkaji relik ini dan Iron Man berjaya menghasilkan Arc Reactor di dada yang lebih stabil. Kemudian dalam filem Captain America pertama, Red Skull telah mempelajari kuasa bahaya Teserract, di Thor pula Teserract digunakan untuk rentas-jarak (teleport) dan kemudian kita telah lihat Teserract dipecahkan dan Thanos telah mengambil Space Stone di dalamnya untuk rentas jarak dari planet ke planet.

Thanos turut gunakan Space Stone untuk larikan diri dari filem Infinity War selepas ditetak oleh Thor dan dalam video acah Endgame ada petanda yang Thanos telah gunakan Infinity Stone sekali lagi, adakah Space Stone?


Apakah pendapat anda dengan pendapat saya, kenapa Avengers: Endgame ini penting? Pada saya ini adalah kunci-kunci utama, hubungan antara watak, Infinity Stone dan juga pasukan Avengers. Hanya beberapa hari sahaja lagi untuk 24 April 2019, sama-sama kita nantikan.


TIPS & ULASAN