Sebelum ini, kami melaporkan yang Hajime Tabata, iaitu bekas pengarah untuk permainan JRPG terkenal iaitu Final Fantasy XV, telah pun meninggallkan Square-Enix dan menghasilkan studio pembangun permainannya sendiri, iaitu JP Games.

Terkini, permainan pertama oleh studio tersebut akhirnya diumumkan secara rasmi di mana ianya adalah satu permainan berbeza daripada permainan beliau sebelum ini iaitu The Pegasus Dream Tour.

Permainan pertama oleh JP Games tersebut merupakan permainan yang berdasarkan sukan paralimpik di mana ianya akan mempunyai bentuk RPG bertempatkan di dunia bandaraya fantasi, Pegasus City.

Menurut kenyataan rasmi mereka, permainan ini akan meletakkan pemain untuk menyertai sukan paralimpik dengan pelbagai kemahiran tambahan yang dipanggil ‘Xtra Power’. Hajime Tabata juga menyatakan bahawa permainna ini akan membawa satu bentuk baharu RPG di dalam permainan bergenre sukan paralimpik.

Tambahan itu, menurut mereka juga ini merupakan permainan pertama rasmi berdasarkan sukan paralimpik, iaitu sukan untuk golongan kurang upaya. Pengumuman ini juga adalah sempena sukan paralimpik 2020 ini yang bakal berlangsung di Tokyo.

Dari segi platform, buat masa ini JP Games menyatakan bahawa mereka akan membawa permainan ini di pelbagai platform, termasuklah di peranti telefon pintar dan ia bakal tiba secara global menjelang 2020 ini. Namun, dari segi pengumuman lain, ianya masih belum dikongsikan lagi.

Sememangnya ini adalah satu pengumuman yang sangat menarik sekali di mana ianya bukan sahaja akan memberi satu perspektif baharu untuk sukan paralimpik, malah ini juga adalah permainan rasmi pertama suka tersebut dan dihasilkan oleh salah satu pembangun ternama di industri permainan video ini. Semestinya kami di Aksiz akan mengemaskini jika terdapat sebarang informasi kelak.

Sohor Kini