Sebelum ini, Rebellion mengumumkan bahawa mereka akan membawa kembali sebilangan permainan Sniper Elite di mana antaranya adalah permainan pernambah-baikkan, Sniper Elite V2 Remastered.
Sniper Elite V2 merupakan permainan sekuel kepada permainan Sniper Elite dan ianya dilancarkan pada 2012 lepas. Permainan tersebut sebelum ini dilancarkan di PC, Playstation 3, Xbox 360 dan juga Wii U.
Terkini dengan versi pernambah-baikkan ini, ianya bakal tiba di Playstation 4, Xbox One dan Switch. Bagi versi PC, pemain yang memiliki permainan asal Sniper Elite V2 di Steam, mereka boleh membeli pernaik-tarafan Remastered tersebut dengan harga RM23.50.
Bersempena dengan pengumuman ini, mereka juga mempertontonkan video acah khas yang memperlihatkan visual grafik perbandingan permainan tersebut di atas. Selain daripada peningkatan sokongan resolusi sehingga 4k dan HDR, permainan ini juga diolah semula dengan tekstur baharu buat persekitaran, watak dan sebagainya. Selain itu, mereka juga akan memperkenalkan mod foto, 7 watak baharu dan mod multi-pemain sehingga 16 pemain serentak bersama-sama DLC permainan secara bersama.
Bagi anda yang berminat untuk mendapat Sniper Elite V2 Remastered, ianya akan dilancarkan pada 14 Mei 2019 ini.