EA dan Respawn Entertainment sebelum ini mengumumkan yang mana mereka akan berkongsi informasi lanjut berkenaan permainan Star Wars akan datang iaitu Star Wars Jedi: Fallen Order pada hujung minggu ini, iaitu pada 14 April ini, sekitar jam 2 pagi di saluran rasmi Twitch EA Star Wars.
Bersempena dengan pengumuman itu, mereka juga berkongsi satu imej khas yang memperlihat seakan satu senjata ataupun Light Saber yang sudah rosak. Pengumuman permainan ini sememangnya akan berlangsung sempena Star Wars Celebration 2019 yang berlangsung di Amerika Syarikat dan ketika acara tersebut, ketua pegawai eksekutif Respawn Entertainment dan pengarah permainan tersebut Stig Asmussen juga akan berkongsi lebih informasi lanjut berkenaan permainan tersebut.
Menurut mereka, permainan ini akan bertempatkan dan memfokuskan penceritaan seorang Padawan yang masih lagi muda selepas peristiwa Order 66 di dalam dunia Star Wars. Sememangnya ini adalah satu konsep penceritaan yang sangat menarik di saat kejatuhan Jedi dan mereka juga menyatakan bahawa permainan ini juga bakal tiba sekitar tahun ini.
Seperti biasa, kami pasti akan mengemaskini informasi lanjut berkenaan permainan ini setelah ianya dikongsikan kelak menjelang hujung minggu ini. Sama-sama kita nantikan Ahad ini.