Melbot Studios sebelum ini melancarkan permainan PlayLink Melbits Worlds di Playstation 4 pada Februari lepas. Namun, dukacitanya permainan tersebut tidak dilancarkan secara rasmi di rantau Malaysia dan pasti membuat ramai tertanya-tanya dan berminat untuk bermain permainan tersebut.
Oleh sebab itu, Melbot Studios minggu ini mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan permainan tersebut versi permua, iaitu Melbits Worlds Pocket di mana ianya dilancarkan di Android dan iOS, sebagai Melbits Worlds Pockets Lite.
Melbits World Pocket adalah satu permua tekaria 3 dimensi yang mana pemain akan membantu makhluk-makhluk kecil comel, Melbits untuk ke lokasi penamat yang terdapat di dalam pentas permua tersebut.
Apa yang membuatkan permua ini unik adalah pemain tidak akan mengawal Melbits tersebut, namun pemain akan mengawal pentas permainan seperti blok-blok berwarna yang boleh bergerak. Terdapat sebilangan bentuk blok yang berbeza yang pemain boleh gerakkan seperti blok berkotak yang boleh disembunyikan, ataupun tapak lantai yang berspring. Kesemua blok tersebut boleh dikawalkan melalui skrin sesentuh peranti anda.
Dengan menggunakan blok-blok tersebut, pemain akan memberi satu panduan kepada Melbits tersebut untuk bergerak ke arah yang pemain inginkan. Ini kerana, Melbits tersebut akan bergerak tanpa henti, namun pergerakkan mereka akan berubah jika pemain menghalang Melbits tersebut, berdasarkan blok berwarna tersebut.
Selain daripada menyelesaikan tekaria tersebut, permua ini juga akan menyertakan sebilangan halangan buat Melbits tersebut seperti terdapat musuh yang akan menumpaskan Melbits dan juga had masa untuk pemain lengkapkan sesuatu peringkat permainan tersebut.
Untuk melengkapkan permainan ini, pemain hanya perlu membawa Melbits-Melbits tersebut ke lokasi penamat permainan. Di samping itu, pemain juga berupaya untuk mendapatkan sebilangan markah tambahan dengan mengarahkan Melbits mengambil satu blok bonus khas.
Konsep ini sememangnya tidaklah baru untuk permainan bergenre tekaria, akan tetapi apa yang membuat Melbits World Pocket ini sangat seronok di mainkan adalah ianya sangat mencabar dan sukar. Ini kerana, pemain bukan akan membantu seekor Melbits sahaja, tetapi empat yang mereka akan keluar dari satu paip secara berperingkat. Namun, bagi anda yang khuatir jika ianya mengambil masa yang panjang untuk melengkapkan satu peringkat permainan, pembangun juga menyediakan satu fungsi untuk mempercepat pergerakkan mereka.
Selain itu, pemain juga berupaya untuk mengubah-suai kostum-kostum Melbits tersebut seperti meletakkan topi, kaca mata dan juga pelbagai pengubah-suaian kostum yang sangat comel. Pemain juga berupaya untuk melakukan swa-foto bersama Melbits-Melbits tersebut.
Apa yang saya boleh katakan, permua Melbits World Pocket World adalah permua yang sangat menarik sekali. Ianya sememangnya mempunyai bentuk permainan yang ringkas dan pada masa yang sama sangat mencabar. Untuk anda yang sering berulang alik dengan kenderaan awam, saya amat mengesyorkan anda untuk bermain permua ini untuk menghabiskan masa.
Walaupun begitu, buat masa ini permua ini masih lagi di peringkat awal di mana ianya hanya mempunyai 6 peringkat permainan sahaja dan buat masa ini, Melbot Studio masih lagi mencari pengeluar untuk melancarkan permua tersebut secara rasmi. Ini sekaligus, tarikh pelancaran untuk permainan ini secara penuh masih belum lagi diumumkan.
Walaupun begitu, edisi awal ini boleh dimuat-turun secara percuma dan bagi anda yang ingin mencubanya, anda boleh ke pautan dibawah.
[download] Muat-Turun Android: Melbits World Pocket Lite [/download] [download] Muat-Turun iOS: Melbits World Pocket Lite [/download]