Bulan lepas, Epic Games mengumumkan yang mana mereka akan membawa kejohanan Fortnite World Cup yang mana ianya bakal berlangsung sepanjang bulan ini sehinggalah Julai ini. Menariknya, kejohanan ini akan dibuka buat semua pemain secara atas-talian.
Selain itu, mereka juga mengumumkan pusingan akhir kejohanan tersebut akan berlangsung pada 25 hingga 28 Julai ini di Queens, New York, Amerika Syarikat.
Dengan hadiah terkumpul melebihi RM120 juta buat pusingan akhir, kejohanan tersebut akan bermula dengan pusingan kelayakan secara atas-talian selama 10 minggu dengan wang hadiah terkumpul melebih RM4 juta setiap minggu. Kejohanan tersebut akan memfokuskan mod Solo dan Duos sahaja dan akan dikira markah berdasarkan pemarkahan yang ditetapkan oleh permainan Fortnite.

Pusingan pertama akan bermula pada 13 April ini yang mana setiap pemain yang layak akan bertempur mengikut rantau pelayan permainan. Pusingan kelayakkan tersebut akan berlangsung secara bergilir antara mod Solo dan mod Duos di mana bagi rantau Asia, terdapat 10 tempat sahaja untuk melayakkan diri mereka ke pusingan akhir.
Dari segi format pertandingan dan pemarkahan, pemain yang berjaya memperoleh Victory Royale, mereka akan menerima 10 markah dan setiap kali mereka menewaskan seorang pemain, ianya akan dikirakan sebagai 1 markah. Ini sekaligus meletakkan kedudukan pemain adalah berdasarkan sistem pemarkahan tersebut.
Tambahan itu, bagi anda yang ingin memberi sokongan terhadap pemain pilihan anda kelak, tiket buat pusingan akhir kejohanan Fortnite World Cup juga kini boleh di dapati melalui laman rasmi Fortnite.
Menurut Epic Games juga, kejohanan tersebut juga akan ditayangkan secara rasmi dan jadual penuh untuk kejohanan tersebut juga boleh dilihat melalui laman rasmi Fortnite World Cup di mana pusingan pertama bermula 13 April pada jam 3 petang waktu tempatan.
Buat masa ini, tidak banyak informasi yang dikongsikan berkenaan kejohanan terutamanya berkenaan penstriman tayangan langsungnya. Kami di Aksiz akan mengemaskini setelah ia diumumkan kelak.