Team Sonic Racing merupakan permainan Sonic seterusnya yang memfokuskan bentuk permainan perlumbaan kereta. Permainan ini dijadualkan bakal tiba Mei dan apa yang menariknya, permainan ini akan mempunyai bentuk perlumbaan yang berbeza di mana pemain akan berlumba secara berpasukan.
Dengan pelancaran yang semakin hampir ini, SEGA minggu ini memperlihatkan video acah baharu dimana mereka memperlihatkan bentuk permainan Team Sonic Racing dengan pelbagai bentuk berpasukan yang pemain perlu lakukan. Ini sekaligus memerlukan pemain bekerjasama antara pemain lain dengan membantu mereka jika mereka ketinggalan dan sebagainya. Pemain juga berupaya untuk menukar barangan bersama pasukan pemain untuk membantu mereka. Akhir sekali, pemain berupaya untuk melakukan satu kemahiran berkumpulan yang berbeza dan membantu untuk menjadi pasukan yang memenangi perlumbaan tersebut.
Dari segi bentuk multi-pemain atas-talian dengan sokongan sehingga 12 pemain, permainan ini juga disahkan mempunyai bentuk multi-pemain secara pembahagian skrin. Sebelum ini mereka juga memperlihatkan bentuk pengubah-suaian yang pemain boleh lakukan di dalam permainan tersebut.
Team Sonic Racing akan dilancarkan pada 21 Mei 2019 ini di Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC.