Skip to main content

Seorang lelaki berumur 25 tahun di Jepun ditangkap polis kerana menghantar ugutan bunuh kepada syarikat pengeluar permainan, Square-Enix pada Mac lepas.

Menurut laporan SoraNews24, lelaki tersebut mengugut akibat beliau menghabiskan lebih dari 200,000 Yen (Sekitar RM7,328) di dalam permainan yang mempunyai mikro-transaksi kotak tikam dan tidak mendapat barangan yang beliau inginkan. Beliau kemudian menghantar emel tersebut kerana berasa tidak puas hati akan permainan tersebut pada 5 Februari lepas.

Namun, beliau berjaya ditangkap pada penghujung Mac lepas selepas polis berjaya mengesan beliau di bandar Yoshinogawa di wilayah Tokushima, Jepun.

Dari segi permainan yang dimainkan, laporan tersebut tidak berkongsi sebarang informasi berkenaannya. Namun, dengan nilai sehingga RM7,000, semestinya ianya adalah satu nilai yang sangat tinggi untuk dihabiskan di dalam permainan.

Semestinya, perkara ini tidaklah asing di dalam industri permainan video di mana Square-Enix juga menyatakan mereka menerima lebih dari 30 ugutan bunuh sejak September tahun lepas dengan pelbagai jenis ugut untuk membunuh staf-staf Square-Enix.

Walaupun begitu, perkara ini juga tidak boleh di ambil endah begitu sahaja kerana ianya masih lagi melibatkan keselamatan staf dan pembangun dari syarikat tersebut. Sememangnya, kesan kotak tikam di dalam permainan video sering memberi satu kesan negatif, dan boleh dikatakan kesan ini juga adalah seakan satu bentuk judi dan ketagihan. Akan tetapi, untuk menghantar ugutan bunuh semestinya adalah satu perkara yang terkutuk dan tidak patut dilakukan oleh mana-mana pemain.

Leave a Reply