Cyberpunk 2077 merupakan permainan seterusnya buat pembangun siri permainan terkenal The Witcher iaitu CD Projekt Red. Sejak pengumumannya, permainan tersebut sering menjadi ikutan ramai dan dinantikan oleh ramai peminat.
Terkini, melalui laporan PushSquare, temu bual sebuah laman di Jerman, GameStar bersama pembangun menyatakan bahawa permainan tersebut tidak akan mempunyai sebarang skrin ‘Game Over’ ataupun permainan tamat jika pemain gagal dalam sebarang misi.
Ini sekaligus membuatkan konsep RPG permainan ini lebih meluas di mana setiap pilihan dilakukan oleh pemain sama ada gagal atau tidak di dalam sesuatu misi, pasti akan memberi kesan dekat penceritaan permainan tersebut.
Akan tetapi, pemain masih lagi akan ternampak skrin “Game Over” tersebut jika watak pemain mati. Namun begitu, ini masih lagi satu perkara yang sangat mengagumkan untuk permainan bergenre RPG ini. Tambahan dengan laporan sebelum ini bahawa permainan tersebut juga tidak mempunyai sebarang skrin pemuatan, ini semestinya sesuatu yang memberansangkan untuk permainan ini.
Buat masa ini, CD Projekt Red masih belum berkongsi sebarang tarikh pelancaran bagi permainan tersebut mahupun platform permainan.