Hellboy adalah kisah ‘anak iblis’ dari neraka yang tiba di dunia. Kisah Hellboy ini dihasilkan oleh Dark Horse Comic dan filem pertama ditayangkan pada tahun 2004 dan Hellboy dilakonkan oleh Ron Perlman. Sekuel filem ini diteruskan pada tahun 2008 dan untuk tahun 2019, selepas 11 tahun – ia diolah semula menjadi filem baru.

Jika dalam filem-filem MCU ada SHIELD, dalam DC ada ARGUS dan dalam MonsterVerse ada MONARCH – Hellboy mempunyai organisasi tersendiri bernama Bureau for Paranormal Research & Defense (B.P.R.D). Apakah B.R.P.D ini? Ia adalah organisasi yang bekerjasama dengan kerajaan untuk berjaya beroperasi. B.P.R.D diasaskan oleh Professor Trevor Bruttenholm pada tahun 1945. Pada awal organisasi ini wujud, ia mempunyai hubungan erat bersama tentera udara Amerika Syarikat.

Antara misi awal ini organisasi ini adalah menentang ancaman-ancaman kultus daripada Nazi. Selain itu, B.P.R.D turut bertanggungjawab melindungi bumi dari ancaman-ancaman paranormal dan kuasa ghaib. Profesor Bruttenholm adalah pengarah organisasi ini sehingga tahun 1950 dan kemudian digantikan oleh Dr. Thomas Manning. B.P.R.D semakin maju sehingga dapat rekrut makhluk-makhluk ghaib, aneh atau mereka yang istimewa sebagai ejen-ejen/ahli B.P.R.D. Contoh dalam filem pada tahun 2004 adalah Hellboy, Liz Sherman dan Abe Sapien.

Dalam filem Hellboy tahun 2004 dan Hellboy: The Golden Army tahun 2008, B.P.R.D dilihat sudah pun beraksi. Pasti ada yang masih ingat atau tahu kisah B.P.R.D dalam filem-filem sebelum ini. Menjadi persoalan adalah, bagaimana B.P.R.D akan beraksi dalam filem olahan semula ini? Dalam senarai pelakon di IMDB, tiada watak Liz Sherman dan Abe Sapien disenaraikan. Tetapi ia digantikan oleh watak Alice Monaghan dan Ben Daimio. Dalam video acah yang baru diterbitkan di Twitter, ia dilihat memfokuskan watak-watak baru ini dan kuasa mereka.

Mampukah dua watak ini menarik perhatian penonton dan pembaca komik Hellboy? Adakah dua watak baru B.P.R.D ini sehebat Liz Sherman dan Abe Sapien atau lebih atau lemah? Kenapa Dr. Bruttenholm perkenalkan dua watak ini? Ada kemungkinan besar yang perspektif filem olahan semula Hellboy ini berbeza. B.P.R.D adalah satu organisasi besar, Jadi ada banyak ejen/ahli berbakat yang boleh bekerjasama dengan Hellboy. Dalam kajian saya, dua ejen baru ini adalah daripada siri komik Hellboy: Conqeuror Worm, Hellboy: Darkness Calls dan campuran komik asal-usul Hellboy dan juga siri komik Hellboy & The B.P.R.D 1954.

Sohor Kini