Pernah atau tidak anda dengar nama Ejen Ali? Ejen Ali adalah siri animasi tempatan yang dibangunkan oleh Wau Animations. Ia mula disiarkan di Malaysia pada tahun 2016 dan sehingga tahun 2017 ia telah mempunyai dua musim. Pada tahun 2018, Wau Animations kelihatan seakan mendiamkan diri dan tiada musim ketiga buat Ejen Ali. Penghujung tahun 2018, Wau Animations mengejutkan pada peminat dengan pengumuman Ejen Ali The Movie.
Tetapi sekali lagi Wau Animations mendiamkan diri, sehinggalah pada hujung minggu lalu mereka hadir dengan video acah baru buat Ejen Ali The Movie. Dalam artikel ini, akan saya terangkan kenapa Ejen Ali The Movie adalah filem animasi Malaysia yang wajib ditonton.
Sebelum itu, saya akan ceritakan sebentar siapa itu Ejen Ali. Ali adalah seorang pelajar sekolah yang bernasib malang. Beliau sering dibuli dan kerap mendapat markah corot dalam kelas. Suatu hari, Ali telah menemui satu gajet bernama I.R.I.S. Gajet ini berasal dari M.A.T.A iaitu satu organisasi perisik yang ditubuhkan di Cyberaya. Ali secara tidak sengaja menghidupkan gajet tadi dan secara tidak langsung mendaftarkan diri beliau dalam pangkalan data M.A.T.A sebagai seorang ejen perisik.
Ya, agak pelik. Tetapi, kanak-kanak menjadi perisik membuatkan saya teringat filem Agent Cody Banks. Dalam video acah kedua yang telah dikongsikan ini, ia memperlihatkan yang Datuk Bandar – Dato’ Othman adalah pengasas kepada M.A.T.A. Ia juga memperlihatkan perwatakan beliau yang memberi petanda beliau adalah watak antagonis. Akan tetapi, plot twist di sini adalah – terdapat satu cubaan menyerang Dato’ Othman ini. Jadi siapakah penjahat sebenar atau adakah ini konspirasi kerajaan Cyberaya? Jika anda tonton video acah, saya pasti ia akan membuatkan anda mempunyai perasaan ingin tahu.

Turut kelihatan, Ejen Ali yang gagal menggodam jet. Apa yang terjadi sebenarnya? Jika Ejen Ali gagal, siapakah penyelamat? Dalam video acah, Ejen Ali kelihatan teruja tiba di ibu pejabat M.A.T.A dan kemudian penampilan pasukat KOMBAT turut kelihatan. Apakah misi dalam filem ini? Kenapa KOMBAT muncul? Satu bayangan wanita yang berpakaian putih juga diperlihatkan? Siapa gadis misteri ini?
Saya yang tonton video acah ini juga mempunyai banyak persoalan. Tidak lupa juga yang bentuk animasi Ejen Ali The Movie ini kelihatan sangat menarik. Ia tidak seperti animasi Upin dan Ipin atau BoBoiBoy. Animasi Ejen Ali adalah lebih kemas, kelihatan seakan filem animasi luar negara dan juga lain daripada yang lain. Wau Animations berjaya mengambil hati peminat di sini.

Dengan bentuk animasi yang unik, jalan cerita yang masih penuh dengan misteri serta tarikh tayangan yang masih belum diumumkan, membuatkan saya tidak sabar untuk tonton filem animasi ini.