Selepas sekian lama, Valve akhirnya mengeluarkan permainan baharu melalui Artifact, namun mungkin di luar jangkaan mereka permainan tersebut gagal untuk mengekalkan pemain walaupun mempunyai bayaran pada pendahuluan.

Kami melaporkan sebelum ini, pemain untuk permainan kad tersebut berkurangan sebanyak 80% selepas 2 minggu dikeluarkan. Dengan tiada penambahan pemain baharu, permainan tersebut makin kurang dimainkan.

Melalui penulisan di blog rasmi permainan tersebut, mereka mengatakan ada perbezaan yang ketara di antara jangkaan mereka mengenai permainan tersebut dan hasil yang sebenar. Namun, mereka menegaskan ia bukanlah kerana pemain tidak memahami atau bermain permainan tersebut dengan cara yang salah.

Selepas mendapatkan pelbagai pendapat daripada pemain, mereka kini menyedari yang permainan tersebut mempunyai isu yang mendalam dan isu tersebut tidak boleh diselesaikan dengan menambah mod ataupun kad baharu. Oleh disebabkan itu, mereka akan melihat kembali rekaan permainan tersebut termasuk juga ekonomi yang digunakan.

Bermula sekarang, mereka akan lebih memfokuskan untuk menyelesaikan masalah utama berbanding mengeluarkan kemaskini biasa. Ia sudah semestinya akan mengambil masa yang lama, akan tetapi mereka teruja untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Ini bukanlah sesuatu yang baharu untuk permainan kad melakukan olahan semula, Gwent oleh CD Projekt Red sebelum ini juga melakukan projek olahan semula yang digelar sebagai Homecoming. Satu perkara yang mungkin menjadi masalah adalah Valve tidak mempunyai rekod yang baik mengeluarkan permainan, projek olahan semula mungkin akan dibatalkan.

Apapun, sama-sama kita nantikan apa perubahan yang akan dilakukan oleh Valve.

Sohor Kini