Selain daripada pengumuman Borderlands 3, Gearbox Software juga bakal membawa sebilangan lagi permainan Borderlands lain ke konsol generasi kini di mana hari ini mereka mengumumkan dua kemaskini baharu buat siri tersebut.
Pertama adalah permainan Borderlands pertama akan dilancarkan semula di konsol generasi kini dengan nama Borderlands: Game Of The Year Edition. Menurut Gearbox Software, permainan ini akan tiba pada 3 April ini di Playstation 4, Xbox One dan PC. Menariknya bagi pengguna PC yang sudah pun mempunyai permainan ini di Steam, mereka akan mendapat versi ini secara percuma melalui kemaskini.
Melalui edisi pernambah-baikkan ini, Gearbox Software akan menyertakan kesemua DLC yang mereka pernah lancarkan sebelum ini bersama-sama dengan sebilangan pernaik-tarafan permainan seperti visual grafik yang lebih menawan bersama-sama dengan keupayaan untuk mengubah-suai watak Vault Hunter pemain.
Selain itu, Gearbox Software juga mengummkan kemaskini Ultra HD Pack buat permainan Borderlands: The Handsome Collection, iaitu koleksi permainan Borderlands yang menyertakan Borderlands 2 dan Borderlands The Pre-Sequel.
Menariknya, melalui kemaskini ini pemain yang sudah mempunyai permainan tersebut di PC, Playstation 4 dan Xbox One akan menerima kemaskini tersebut secara percuma bermula 3 April ini.
Kemaskini Ultra HD ini akan menyertakan pernaik-tarafan visual yang mana pemain yang mempunyai konsol Playstation 4 Pro dan Xbox One X, akan berupaya untuk bermain dengan resolusi 4k.
Tambahan itu, menurut laporan Push Square, permainan realiti-maya Borderlands 2 VR juga akan menerima kemaskini baharu yang mana Gearbox Software akan menyertakan kesemua DLC permainan tersebut secara percuma.
Sememangnya ini adalah satu pengumuman yang sangat memberangsangkan buat siri Borderlands. Tambahan dengan pengumuman Borderlands 3, semestinya siri ini tampaknya bakal kembali dan menjadi satu lagi permainan bergenre ‘loot shoter‘ yang menarik untuk generasi kini.