4A Games minggu ini mengumumkan yang kemaskini utama iaitu ‘Ranger Update’ akan dikeluarkan untuk semua versi permainan Metro Exodus. Kemaskini tersebut akan menyertakan pelbagai perkara baharu termasuk juga New Game+.
Melalui mod New Game+, selepas pemain sudah menghabiskan permainan tersebut, pemain boleh bermain semula tetapi dapat menggunakan pelbagai tetapan untuk menjadikan permainan itu lebih menarik ataupun lebih sukar.
Antara tetapan yang boleh digunakan adalah yang membenarkan satu senjata sahaja pada satu masa, pembinaan ataupun pengubahsuaian barangan hanya boleh dilakukan di tempat yang khusus, menjadikan penjahat lebih sukar dan paling menarik pemain boleh memilih untuk menjadikan masa di dalam permainan adalah 24 jam seperti dunia sebenar.
Selain itu, kemaskini ini juga akan menyertakan Iron Mode yang akan membuang sistem simpanan, pemain akan membuat simpanan selepas memasuki peringkat baharu sahaja. Terdapat juga Developer Commentary yang membolehkan pemain mencari Green Tape Player untuk mendengar penjelasan daripada pembangun mengenai kawasan tertentu.
Metro Exodus sudah dikeluarkan pada 15 Februari 2019 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.
[info]Bacaan Lanjut: Mengapa Mengeluarkan Metro Exodus Di Epic Games Store Sahaja Adalah Masuk Akal[/info]