Keep Talking and Nobody Explodes merupakan antara permainan koperasi kegemaran kami, ia tidak memerlukan rakan anda untuk memiliki sebarang platform sebaliknya satu kertas sudah mencukupi.
Permainan ini sudah dikeluarkan di hampir kesemua platform termasuk juga versi realiti maya. Steel Crate Games minggu ini mengumumkan yang permainan tersebut akan turut dikeluarkan sebagai permainan mudah alih untuk iOS dan Android.
Bagi yang tidak pernah mengetahui permainan ini, melaluinya pemain perlu menyelesaikan pelbagai tekaria untuk memadamkan bom. Cara untuk menyelesaikan tekaria tersebut perlu merujuk manual yang disediakan bersama.
Walaupun anda boleh merujuknya sendiri, tetapi permainan menjadi jauh lebih menarik jika orang lain yang merujuk manual tersebut dan sesiapa yang perlu memadamkan bom tersebut perlu menerangkan mengenai tekaria yang ada sahaja.
Dengan pengeluaran di telefon pintar, ia sudah semestinya lebih memudahkan untuk anda bermain bersama rakan ataupun keluarga. Buat masa ini tiada tarikh yang diumumkan akan tetapi ia dijangkakan pada tahun ini.