Epic Games Store secara rasmi beroperasi pada Disember tahun lepas, walaupun baru sahaja beberapa bulan, kedai dalam talian oleh Epic Games tersebut sudah mula meninggalkan tapak di dalam industri permainan PC yang sebelum ini dimonopoli oleh Steam.

Bagi menarik pengguna dan juga perhatian industri, mereka menjanjikan permainan percuma yang berbeza setiap 2 minggu, Epic Games Store juga agresif dalam mendapatkan hak untuk menjual permainan secara eksklusif. Ia sebelum ini bermula dengan Metro Exodus yang mencetus kritikan ramai kerana permainan tersebut sudah dibuka untuk pra-tempah di Steam walaupun begitu saya sendiri berpendapat yang keputusan yang dibuat oleh Deep Silver tersebut adalah tepat untuk segi perniagaan.

Terbaru mereka mengumumkan beberapa lagi permainan yang akan dikeluarkan secara eksklusif melalui Epic Games Store, ada permainan yang selamanya dan ada juga yang untuk masa terhad. Antara permainan tersebut adalah The Division 2, Anno 1800 (turut dikeluarkan di Uplay), Control, The Outer Worlds, 3 permainan Quantic Dream dan hampir 30 permainan lain.

Selain memberikan peratusan pulangan yang lebih tinggi, iaitu 88% daripada jualan kepada penerbit, Epic Games sudah semestinya membayar dengan nilai tertentu untuk mendapat hak eksklusif tersebut yang memperlihatkan komitmen mereka untuk bersaing dengan Steam yang bertahun-tahun menjadi sumber utama bahkan satu-satunya sumber mendapatkan permainan secara digital untuk PC.

Tindakan Epic Games Store tersebut adalah tidak baik, bukan sahaja ia memaksa pengguna untuk memasang klien yang lain, Epic Games Store juga masih mempunyai banyak kekurangan jika ingin dibandingkan dengan Steam. Paling utama adalah harga setempat, Steam menggunakan ringgit, manakala Epic Games Store masih menggunakan dolar. Pengguna di Malaysia yang tidak mempunyai kad kredit ataupun kad debit juga akan mempunyai masalah untuk membeli sedangkan Steam menyedia pelbagai cara lain untuk membeli permainan di kedai mereka. Jika ingin dibandingkan Steam dan Epic Games Store, Steam sudah semestinya menjadi pilihan ramai.

Ramai pemain juga mengatakan tindakan Epic Games menjadikan sesetengah permainan eksklusif untuk kedai mereka membuatkan pembangun tersebut tampak tidak mesra pengguna yang boleh mencetuskan boikot untuk permainan tersebut walaupun ia adalah satu permainan yang baik. Masalah-masalah ini sudah semestinya perlu diteliti oleh Epic Games dan saya merasakan mereka sedar menjadikan permainan eksklusif adalah bukan satu cara yang baik apabila mengatakan mereka tidak merancang untuk menggunakan strategi permainan eksklusif untuk jangka masa yang lama.

Walaupun menerima pelbagai cemuhan, akan tetapi saya merasakan ada lebih ramai pengguna yang tidak kisah mengenai perkara ini dan sekadar ingin membeli dan bermain permainan yang mereka inginkan. Merekalah yang menjadi sasaran Epic Games Store, pemain yang memilih untuk tidak membeli, mungkin jumlah mereka adalah kecil dan sesuatu kerugian yang sanggup ditanggung oleh Epic Games dan juga penerbit permainan.

Jadi, adakah Epic Games Store perlu melakukannya sekarang?

Bagi saya, ya, kerana ia adalah satu cara terbaik untuk Epic Games Store bersaing dengan Steam. Walaupun ia akan membawa pelbagai masalah dan mungkin membuatkan segolongan pemain untuk memboikot permainan yang dikeluarkan secara eksklusif tersebut akan tetapi ia adalah sesuatu keperluan. Ia mungkin seperti api dalam sekam akan tetapi api tersebut diperlukan untuk Epic Games Store mempunyai peluang bersaing dengan Steam yang sudah memasang akar jauh lebih lama berbanding Epic Games yang sebelum ini sekadar klien untuk permainan Fortnite.

Suatu hari nanti, Epic Games Store perlu menyediakan klien yang lebih baik berbanding dengan Steam untuk bersaing, namun jika sekarang mereka memfokuskan menyediakan klien yang lebih baik tiada kepastian yang pemain sanggup meninggalkan Steam. Buat jangka masa yang pendek menyediakan permainan secara eksklusif adalah cara yang lebih cepat untuk memastikan pengguna memasang klien Epic Games Store dan membuat pembelian.

Selain daripada itu, menghasilkan klien yang lebih baik termasuk juga menyediakan pembelian mengikut mata wang tempatan mungkin memerlukan masa yang lama, sedangkan permainan eksklusif bersifat segera. Jika mereka menyediakan klien yang lebih baik sekarang, tiada masalah untuk Steam yang sudah mendominasi buat sekian lama untuk terus menyediakan klien yang lebih baik. Oleh kerana itu saya percaya yang mendapatkan permainan secara eksklusif adalah cara terbaik untuk bersaing dengan Steam akan tetapi buat sementara waktu sahaja.

Jika Epic Games Store mempunyai kekuatan yang dapat menyaingi Steam, barulah persaingan menjadi lebih sihat. Ya, buat masa ini apa yang dilakukan oleh Epic Games adalah tidak sihat, akan tetapi tanpa pesaing yang berkemampuan, persaingan akan menjadi lebih tidak sihat kerana Steam akan terus mendominasi. Hadirnya, Epic Games Store, Steam juga perlu memastikan mereka mempunyai kelebihan yang akhirnya akan memberi sesuatu yang positif untuk industri permainan PC dan juga pengguna sendiri.

Bagi saya apa yang perlu dilakukan oleh pengguna sekarang bukanlah sekadar mengecam Epic Games Store kerana perihal eksklusif ini, sebaliknya terus meminta untuk Epic Games meningkatkan kualiti kedai dalam talian mereka dan pada masa sama meminta Steam untuk menjaga pembangun serta penerbit permainan dengan lebih baik agak tarikan Epic Games Store tidak terlalu kuat. Kritikan terhadap Epic Games Store yang masih mempunyai pelbagai kekurangan adalah benar, akan tetapi saya merasakan memboikot kedai dalam talian tersebut semata-mata ia bukan Steam adalah satu perkara yang tidak baik dan akan merugikan pengguna sendiri. Adanya persaingan, kualiti perkhidmatan akan terus meningkat, kerana mereka harus melakukannya.

Itu adalah pendapat saya, bagaimana dengan anda? Adakah Epic Games Store tidak harus menjadikan sesuatu permainan eksklusif? Jika tidak patut, apakah cara lain yang dapat dilakukan oleh Epic Games Store untuk bersaing dengan Steam?

Sohor Kini