Sebelum ini EA mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan mod pertempuran royale ‘Firestorm’ buat permainan Battlefield V pada 25 Mac ini. Terkini, mereka berkongsi satu video khas yang memperlihatkan mod tersebut dengan lebih lanjut termasuklah bentuk permainannya.

Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Firestorm merupakan mod pertempuran royale buat permainan Battlefield V dimana ianya akan memfokuskan sebanyak 64 pemain di dalam satu kawasan yang luas.

Menurut EA, mod Firestorm ini akan memfokuskan secara berpasukan sebanyak 4 pemain di dalam satu pasukan dengan nilai maksima sebanyak 16 pasukan untuk satu sesi Firestorm. Namun, mod ini boleh dimain secara solo dan mod berdua pula akan dilancarkan sekitar April kelak.

Melaluinya, pemain akan dijatuhkan di satu peta baharu yang luas iaitu Halvøy dan menurut EA, peta tersebut mempunyai saiz keluasan 10 kali ganda dari mana-mana peta sebelum ini buat permainan tersebut dan akan terdapat pelbagai jenis senjata dan kenderaan untuk pemain bertempur dengan pemain lain. Dari traktor, kereta, helikopter sehinggalah kereta kebal, pemain akan bertempur dengan pelbagai bentuk senjata untuk menjadi pemain terakhir di dalam mod Firestorm tersebut.

Berdasarkan video yang dipertayangkan di atas juga, seperti kebanyakkan permainan pertempuran royale lain, pemain perlu mencari senjata di dalam kawasan perang tersebut dan juga membuka sebilangan tempat penyimpanan tersembunyi untuk mendapatkan beberapa senjata dan kenderaan yang kuat.

Semestinya ini adalah satu mod yang dinanti-nantikan oleh pemain sejak pelancaran Battlefield V tahun lepas. Walaupun begitu, adakah ianya agak terlambat untuk EA membawa mod ini ke permainan ini? Sama-sama kita nantikan pada minggu hadapan untuk mencuba mod Firestorm ini.

Sohor Kini